Friday, January 14, 2011

Nasionalis1982 di dalam Utusan Malaysia hari ini.

Terima kasih Utusan Malaysia kerana menyiarkan ulasan saya mengenai INTERLOK-O-PHOBIA. Walaupun ulasan saya pendek, diharap ia memberi sedikit kefahaman setiap pembaca.

Interlok, interlok-o-phobia dan sauberung sastera

SEJAK pertama kali dicetuskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mengenai novel Interlok, nampaknya isu novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu semakin membara sehinggakan ada yang sanggup membakar buku teks komponen sastera tingkatan lima itu serta poster pengarangnya.

Namun banyak pihak yang melihat isu konon adanya penghinaan terhadap kaum-kaum tertentu di dalam novel tersebut sengaja dipolitikkan demi kepentingan individu atau kaum tertentu tanpa melihatnya dalam skop dan persepektif yang lebih luas.

Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) berkata, sastera adalah wadah penting untuk mempelajarai sejarah, cita rasa, sosiologi, psikologi dan perasaan sesuatu bangsa dalam sebuah negara dan sastera boleh memupuk kecintaan pelajar terhadap negara.

"Novel ini (Interlok) cuba mengetengahkan tentang asal usul mereka sebagai satu maklumat penting untuk memahami situasi dan kehidupan mereka sekarang.

"Tidak semestinya apa-apa yang diragukan oleh orang dewasa, tambahan pula yang tidak begitu memahami fungsi sastera, karya fiksyen, atau yang hanya segelintir sahaja, mesti menjadi isu sehingga sesuatu dasar dan pertimbangan kerajaan itu seharusnya di kesampingkan," katanya.

Jelas beliau, tindakan emosi berdasarkan perasaan seharusnya dijauhkan kerana ia boleh memaksa rasa emosi dan pemikiran yang tidak rasional terhadap masyarakat, terutama mereka yang tidak pernah membaca karya sastera apa lagi menganalisis dengan adil karyanya.

"Isu Interlok bukanlah isu politik sempit yang membawa kepada demonstrasi jalanan, membakar bahan yang tidak berdosa, membangkitkan sentimen yang melulu, tetapi isu ini adalah isu pendidikan universal.

A. Kadir Jasin (kadirjasin.blogspot.com) pula berkata, kumpulan masyarakat yang menentang dan membakar novel Interlok sebagai kelompok manusia yang mahu melaksanakan sauberung (bahasa Jerman bermaksud pembersihan) kesusasteraan.

Katanya, novel tersebut menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan orang India beragama Hindu pada halaman 211 dan 220 novel tersebut yang antaranya mengandungi perkataan "paria", iaitu kasta paling rendah dalam masyarakat Hindu.

"Kalau penunjuk perasaan itu hendak Interlok disauberungkan kerana kononnya menyinggung orang India (Hindu), maka mereka kenalah juga membakar novel "Adventure of Huckleberry Finn" karangan Mark Twain kerana ia juga menggunakan istilah yang sama (pariah).

"Kalau para pembakar buku mahu istilah itu diharamkan penggunaannya maka eloklah dimulakan dengan menghapuskan dari muka bumi ini sistem kasta yang mempopularkan istilah paria itu," kata beliau.

Namun, katanya, di India sendiri kerajaannya telah secara rasmi mendokumentasikan kasta dan subkasta dengan tujuan memastikan siapa yang berhak didiskriminasikan secara positif dalam bidang-bidang asas seperti pendidikan dan pekerjaan.

"Lagi pun, latar cerita kedatangan orang India ke Malaysia dalam novel Abdullah itu adalah pada tahun 1910. Abdullah cuba menceritakan situasi yang wujud pada waktu.

"Jadi, sebelum sesiapa pun melakukan sauberung ke atas Interlok atau mana-mana hasil kesusasteraan, eloklah difahami kandungannya," katanya.

Blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) berkata, novel tersebut menceritakan tentang tiga watak utama iaitu Seman, Chin Huat dan Maniam yang mewakili tiga kaum terbesar di Malaysia dan ia digarap melalui pengalaman mereka bertiga dalam memakmurkan negara ini.

"Mereka bercampur gaul atau "berinterlok" tanpa perkauman dan pergaduhan menepati tajuk sebenar novel ini," katanya.

Justeru, kata blog ini, novel Interlok seharusnya dibaca oleh semua kaum di negara ini dan bukannya diharamkan atau dipolitikkan oleh golongan yang sempit fikiran.

Blog Nasionalis 1982 (nasionalis1982.blogspot.com) berkata, beliau hairan mengapa golongan terbabit mempersoalkan kandungan novel tersebut selepas 40 tahun ia diterbitkan sehinggakan mereka sanggup membakarnya seolah-olah ia baru diterbitkan semalam.

"Saya bukan kasihan pada novel yang kena bakar, tapi kasihan pada orang yang membakarnya. Amat naif dan daif sekali. Paling sadis, ada pulak wakil rakyat yang turut sama berdemo. Mereka macam budak-budak.

"Kepada mereka yang berkenaan, kembalilah ke landasan yang benar. Berfikirlah seperti orang yang waras. Jadilah orang yang berani menerima realiti sejarah. Jangan jadikan Interlok sebagai mangsa kepada prasangka liar. Jangan jadi mangsa sindrom interlok-o-phobia," katanya.

Dalam entri terbaru, penulis blog ini berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu bersusah payah mencari individu yang sepatutnya berdialog dengan Kementerian Pelajaran mengenai novel ini kerana calonnya sudah ada iaitu ahli politik yang mencipta polemik dan menimbulkan isu Interlok ini.

"Beliau yang saya maksudkan adalah T. Murugiah. Seorang bijak pandai yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hebat sekali. Tapi sayang. Beliau terlalu cepat melatah. Melatah hingga diketawakan oleh rakyat," katanya.

Nada lebih keras disuarakan oleh blog Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) yang mahukan Murugiah memohon maaf kepada Abdullah dan seluruh rakyat Malaysia kerana menghina sasterawan tersebut sedangkan beliau sendiri diyakini tidak membaca keseluruhan novel berkenaan.

Malah blog ini mahukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melepaskan jawatannya kerana telah menghina dan memperkecilkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran apabila beliau mengarahkan penarikan balik Interlok sebagai buku teks sastera Komsas tingkatan lima itu sedangkan ia bukan di bawah portfolio beliau.

"Secara tidak langsung (beliau juga telah) mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang kaum India terhadap penulis Interlok sehinggakan ada yang berdemonstrasi dan membakar novel tersebut serta potret penulisnya," katanya.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

No comments: