Sunday, November 1, 2009

Bulan ini dalam sejarah : November 1998

Perbicaraan terhebat abad ini

KES mahkamah yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap perbicaraan paling hebat pada abad ini. Tuduhan-tuduhan salah laku seks di luar tabii terhadapnya begitu berat, sensasi, penuh drama dengan latar belakang pergelutan politik yang intrigue.

Penyiasatan polis berhubung kes ini bermula dengan penerbitan sebuah buku kontroversial 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM pada bulan Jun lalu.
Jabatan Peguam Negara berkata, ia mempunyai kes prima facie untuk mendakwa Anwar. Jabatan itu menawarkan 52 orang saksi manakala Anwar mendapat khidmat barisan peguam bela yang terbaik di Malaysia.

Perbicaraan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul, seorang lulusan Inner Temple yang telah 27 tahun berkecimpung dalam bidang perundangan.

Anwar dituduh mengadakan hubungan seks di luar tabii dengan lima lelaki dan menghadapi lima lagi tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Kes beliau disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada 29 dan 30 September tetapi dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Oktober.

Anwar mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan terhadapnya. Mahkamah menetapkan untuk membicarakan empat kes rasuah dan salah guna kuasa terlebih dahulu pada 2 hingga 14 November. Perbicaraan enam kes lain akan ditetapkan kemudian.

Dakwaan Anwar bahawa beliau dipukul semasa dalam tahanan pula sedang disiasat dan merupakan satu perkembangan yang menarik untuk diikuti.
Bangunan mahkamah dikawal ketat oleh anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) semasa kes beliau pertama kali disebut, dan ini dijangka berterusan, manakala fokus media massa tempatan dan antarabangsa juga tertumpu kepada drama mahkamah kes ini.

Beberapa aktivis hak asasi manusia dari luar datang ke Kuala Lumpur untuk menjadi pemerhati kes Anwar tetapi tiada tempat khas disediakan untuk mereka di mahkamah.

Sebulan lalu, Anwar ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia tetapi sekarang beliau merupakan tertuduh dalam kes jenayah seks dan rasuah yang boleh dikelaskan sebagai yang paling menarik perhatian.

Atas sebab-sebab keselamatan, perbicaraan kes ini akan diadakan di sebuah Mahkamah Tinggi di Bangunan Sultan Abdul Samad yang mempunyai laluan bawah tanah untuk membawa seseorang tertuduh terus dari lokap ke mahkamah.

No comments: