Wednesday, March 16, 2011

'Kami 100,000 Rakyat Desak Rais Yatim/RTM Siarkan Live Liga Malaysia'


PARA peminat sukan tempatan nampaknya seperti sudah hilang sabar apabila Radio dan Televi- syen Malaysia (RTM) masih terus gagal menyiarkan siaran langsung perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2011 sehingga malam tadi.

Selepas berlalu tujuh perlawanan Liga Super yang bermula pada 29 Januari lalu tanpa sebarang perlawanan pun disiarkan secara langsung oleh RTM, aksi suku akhir pertama Piala FA malam tadi turut gagal disiarkan.

Malah aksi final Kejohanan Badminton Seluruh England yang menemukan Datuk Lee Chong Wei dengan Lin Dan pada awal pagi kelmarin, turut tidak disiarkan secara langsung oleh RTM yang sering melaungkan slogan 'Sukan Terbaik Hanya di RTM'.

Kecewa dengan sikap acuh tak acuh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim tentang soal siaran langsung sukan tempatan itu, satu laman Facebook yang dinamakan 'Kami 100,000 Rakyat Desak Rais Yatim/RTM Siarkan Live Liga Malaysia' telah dibuka.

Sehingga semalam, seramai 2,485 sudah menyertai laman Facebook berkenaan sebagai tanda desakan supaya Rais sebagai orang yang paling berkuasa di RTM mendengar rintihan rakyat Malaysia yang mahu- kan aksi Liga M disiarkan secara langsung.

RTM sebelum ini merupakan pemegang hak penyiaran Liga M dengan nilai tajaan RM6 juta setahun tetapi pada 2 Januari lalu, Astro diumumkan sebagai pemegang baru hak tersebut dari 2011 hingga 2014 dengan nilai tajaan RM30 juta setahun.

Namun, Astro bukanlah pemegang hak eksklusif siaran langsung Liga M kerana mana-mana stesen televisyen tempatan lain tetap dibenarkan untuk membeli hak penyiaran tersebut daripada stesen televisyen satelit itu.

Masalah timbul apabila RTM dikatakan mahukan 'diskaun berlebi- han' sedangkan bayaran yang dikenakan Astro ialah RM6 juta setahun, sama seperti jumlah dibayar RTM kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Bukan semua rakyat Malaysia melanggan saluran berbayar Astro terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut melaungkan slogan 'Sukan menyatukan kita semua' tetapi bagaimana untuk menyatukan rakyat jika RTM tidak menyokong sukan tempatan. - Kosmo

No comments: