Thursday, August 5, 2010

Katakan 'HELL NO' kepada Al Gore dan Wolfowitz



Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanya apakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu ‘ terdesak’ dalam menghadapi kes liwatnya sehingga meminta tolong dan 'tali hayat' daripada kawan baiknya di Amerika untuk menekan kerajaan.

Mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia Paul Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal yang mahu kerajaan Amerika campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini sedang dibicarakan , Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan tunduk terhadap campur tangan dan desakan mana-mana pihak atau negara luar.

Muhyiddin berkata pemimpin seperti Al Gore dan Wolfowitz perlu menghormati undang-undang dan sistem yang ada pada sesebuah negara sepertimana mereka menghormati undang-undang di negara mereka.

Beliau berkata Anwar sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri mengetahui bahawa di dalam sistem perundangan negara, tidak ada kuasa luar yang boleh mengganggu-gugat apa yang dilakukan dalam negara.

Beliau berkata gesaan itu merupakan satu tindakan sia-sia serta menunjukkan Anwar seorang yang terdesak sehingga menggunakan 'talian hayat' dan sentiasa bersubahat dengan rakan-rakan luarnya demi kepentingannya.

"Sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar sepatutnya tahu tetapi soal yang berbangkit menunjukkan apakah dia begitu 'desperate' (terdesak) sehingga meminta tolong dan 'tali hayat' daripada orang Amerika dan kawan baiknya," katanya para wartawan selepas merasmikan Agrofest Perak 2010 di Ladang Infoternak di Sungai Siput Khamis.

"Kita mematuhi undang-undang dan apabila Anwar dibawa ke muka pengadilan dan kini sedang dibicarakan, saya hairan mengapa dia nak minta tolong orang luar, macam dah 'desperate' (terdesak) sangat. Apakah dia tidak boleh pertahankan kedudukannya sendiri, atau rasa kes dia sangat lemah. Saya tidak mahu prejudis kerana kes masih dalam mahkamah," katanya - Agenda Daily


No comments: