Tuesday, August 25, 2009

Monfils, Roddick, Federer, Nadal dan politik Malaysia

GAEL Monfils, pemuda kulit hitam Perancis tiba-tiba menjadi buah mulut di negara itu dan seluruh dunia. Bagi peminat tenis beliau dikenali sebagai pemain muda pilihan ke-11 dunia yang mampu memberi ketegangan yang melampau kepada lawannya.

Monfils atau juga dikenali sebagai La Monf atau Sliderman membenam pemain pilihan ke-6 dunia dari Amerika Syarikat, Andy Roddick. Roddick tumpas straight set 6-4, 6-2, 6-3 dalam perlawanan penuh drama selama dua jam dalam sebuah stadium terbuka di Paris.

Sesiapa yang pertama kali melihat permainan Monfils, dia mempunyai gaya servis ala Roddick. Kedua-duanya mempunyai servis halilintar yang cukup tajam. Pada perlawanan itu, Roddick mencatatkan servis paling laju 224 km/j, manakala Monfils 213 km/j. Tidak hairan kerana kedua-duanya pernah diasuh di bawah jurulatih keturunan Algeria, Terik Benhabiles. Kini Monfils dilatih oleh jurulatih Australia keturunan Lebanon, Roger Rasheed. Keistimewaan Monfils, beliau adalah pakar pukulan ace. Pemain berusia 23 tahun berasal dari susurgalur keturunan Caribbean itu membuat 17 kali pukulan tanpa balas (ace) berbanding empat oleh Roddick.

Roddick cukup tertekan dengan corak permainan tepat dan konsisten lawannya itu. Apabila manusia mula tertekan, banyak perkara yang tidak terfikir akan dilakukan. Melihatkan kedudukannya terancam, Roddick mula menghendik ke arah pengadil. ''Bagi tahu saya semasa kita mula main tadi cuaca macam mana? Cuaca tadi cerah kan? Sekarang ini cuaca macam mana, mendung kan? Sila jawab soalan saya!'' Roddick mendesak pengadil supaya menangguhkan perlawanan ke hari Selasa (malam tadi). Desakan itu dibuat di set terakhir - setelah beliau ketinggalan 2-3 dengan alasan cuaca mendung dan sukar melihat pergerakan bola.

Monfils tersenyum melihat gelagat Roddick itu. Dia tahu Roddick mula tertekan dan ia memberi kelebihan kepadanya. Pengadil tidak layan permintaan Roddick itu. Roddick kelihatan gementar, peluhnya menitik-titik dari topi putih kegemarannya. Tapi dia cuba menyembunyikan perasaannya. Pengadil minta perlawanan diteruskan untuk 30 minit lagi sehingga pukul 9.30 malam waktu Paris. Tiada lampu limpah di stadium terbuka dan waktu siang di musim panas Eropah sekarang adalah panjang sehingga ke lewat malam.

Dalam permainan tenis atau apa saja permainan mahupun politik, ketahanan psikologi amat penting. Sebagai pemain dunia soal fizikal dan taktikal seharusnya sudah lengkap, tapi ketahanan mental adalah segala-galanya. Apabila emosi mula menguasai diri, prestasi fizikal akan terjejas, taktikal tidak menjadi dan tumpuan kepada perlawanan akan melencong. Semasa Monfils memungut mata 5-3 di set terakhir dia berkata-kata seorang diri sambil tangannya menerjah ke hadapan yang mungkin bererti 'fokus'. Dengan sokongan padu penyokong senegaranya yang memenuhi stadium, mereka berdiri menyokongnya di mata akhir perlawanan. Dan beliau berjaya. Seperti biasa, Monfils menari-tari meraikan kemenangan, Roddick pula cepat-cepat meninggalkan gelanggang.

Roddick kalah dari segi mental, Monfils berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir bertemu dengan pemain pilihan ke-2 dunia Roger Federer.Dalam kejohanan tenis dunia yang lazim menampilkan pemain-pemain jelitawan dan kacak, Monfils mungkin tidak setampan pemain-pemain lain, tapi keupayaannya - pada tahun ini - tidak boleh diketepikan. Hanya kekuatan mental yang akan menentukan sama ada beliau boleh menumpaskan Federer, pemain yang cukup tenang dalam menghadapi lawan. Pada saingan kejuaraan tahun lalu, Monfils tewas kepada Federer di peringkat separuh akhir.

Jika mahu diberi sentuhan politik, sebenarnya percaturan perlawanan sukan, lebih kurang sama dengan percaturan politik. Cuba bandingkan percaturan politik di Malaysia dengan perlawanan Roddick dan Monfils itu. Ada persamaankah? Yang berkuasa seperti Roddick, tidak semestinya akan terus menang jika kekuatan mental, disiplin, fokus mulai terpesong.

Menariknya, siapakah yang akan menjuarai persaingan kali ini? Peluang kini terbuka luas setelah pemain gergasi pilihan pertama Rafael Nadal pun sudah tewas dan pilihan ke-4 Novak Djokovic juga turut bungkus.

Memetik kata-kata Nadal selepas kekalahannya (yang orang politik Malaysia boleh renungankan): ''Kekalahan tidak akan membuatkan kita berkembang, tapi anda juga harus sedar betapa sukarnya apa yang telah saya kecapi sehinggalah kekalahan ini, dan inilah yang anda perlukan kadang-kala. Kamu perlukan kekalahan bagi memberi nilai kepada kemenangan anda."Kata-kata Nadal itu cukup bermakna. Dalam konteks politik tanah air kekalahan bukan suatu pengakhiran, tapi ia adalah satu pengajaran. Kita tidak boleh selalu menang, kita perlu juga kalah supaya proses muhasabah diri berlaku. Ia adalah proses evolusi kematangan yang normal.

Konteks politik Malaysia....

Penulis menulis artikel ini sejurus selepas pengumuman keputusan pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Kepada parti UMNO, dengar dan fahamilah. Hakikatnya, UMNO masih disayangi oleh orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan UMNO sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, UMNO wajib mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Teruskan perjuangan kalian dan jangan sesekali mudah putus asa... anda pasti tidak akan keseorangan.


No comments: