Tuesday, July 28, 2009

Antara sifat rasis atau pro kepada bangsa sendiri...

Rasis dan perkauman

"Rasis" dan "perkauman" menjadi istilah yang mengikat orang-orang Melayu daripada bercakap tentang kepentingan Melayu. Dua istilah ini sekaligus menjadi fobia kepada orang Melayu, mereka bimbang kalau apa yang dikatakan terjebak dalam erti rasis atau perkauman.



(sekadar gambar hiasan)

Kalau ini berlaku, fikir mereka, sudah tentu akan menyinggung perasaan kaum lain yang datang kemudian tetapi diterima menjadi rakyat negara ini.

Sebenarnya kedua-dua istilah ini tidak ada dalam perbendaharaan kata adat dan berbudaya orang Melayu. Orang Melayu tidak diajar untuk berlaku rasis kepada kaum lain, biar pun kaum yang datang kemudian itu membawa maksud pendatang. Dalam budaya dan tradisi Melayu, tetamu tetap dirai, silap dan lantangnya pula terpaksa ditelan dengan senyum dan bermanis muka.


Orang Melayu




Inilah orang Melayu. Sejak turun temurun mereka diasuh mendahulukan yang datang seperti kata bidalan, orang asing yang singgah kekenyangan, anak di rumah mati kelaparan. Dalam konteks politik, orang Melayu berpesan kepada diri sendiri supaya memegang etika sebagai tuan rumah. Tetapi pada masa yang sama, sesetengah pihak dalam kalangan kaum yang datang ke negara ini tidak membawa budaya pendatang yakni menjaga hati tuan rumah.





Tetapi apalah gunanya menjadi tuan rumah kalau terlalu kerap disuruh beralah dengan gelagat orang asing yang datang ke rumah mereka? Sebenarnya orang Melayu di negara ini sudah lama dimangsai oleh dua istilah di atas yang dilabelkan dengan sewenang-wenangnya kepada kepada orang Melayu yang menyuarakan tentang hak mereka.




Ketidakadilan menggunakan label ini sangat jelas apabila rasis tidak dirujuk kepada kaum lain, melainkan orang Melayu. Persoalannya benarkah orang Melayu rasis ketika ada kaum lain yang berarak dan membuat keganasan di jalan-jalan raya mempertikaikan hak orang-orang Melayu?


Bangga Bangsa, Megah Bangsa atau Pro Bangsa

Sifat 'rasis' atau 'rasisme' tidak sama dengan perasaan perkauman. Setiap bangsa mempunyai perasaan 'bangga bangsa' atau 'megah bangsa'.

Perasaan ini wujud kerana adanya kesedaran bahawa anggota bangsa itu mempunyai ciri-ciri budaya dan sejarah yang sama, misalnya bahasa yang sama, asal usul sejarah dan budaya nenek moyang yang sama, dan mungkin juga agama yang sama.

Mereka akan berasa marah sekiranya orang luar ('orang asing') menghina bangsa mereka dan mereka akan bertindak balas jikalau bangsa asing menyerang mereka atau cuba menghina atau memusnahkan bahasa, agama dan budaya yang telah dimiliki bersama sejak turun-temurun, sejak nenek moyang mereka.


Dasar Kebangsaan




Segala dasar kebangsaan yang digubal selepas merdeka, misalnya Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, semuanya sering dikritik sebagai dasar pro- Melayu dan antikaum lain. Padahal faedah semua dasar ini tidaklah dibolot oleh orang Melayu sahaja tetapi sebahagian besarnya pergi kepada orang bukan Melayu juga.



Mana-mana pihak yang memperjuangkan identiti dan institusi bangsanya tidak boleh dianggap perkauman. Semua kaum mempunyai identiti tersendiri dan mereka akan cuba mempertahankannya sedaya upaya.

Contohnya orang Cina mereka pastikan akan mempertahankan tiga identiti penting kaum tersebut iaitu pertubuhan Cina, pendidikan Cina dan media Cina. Oleh itu tindakan tersebut tidak boleh dianggap perkauman, begitu juga apabila orang Melayu mempertahankan identiti
mereka.

Untuk Renungan......

Seorang pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: ''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.



Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka.


Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? ''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?


"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''. Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu.

Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''

2 comments:

Anonymous said...

salam bro,
ini masanya untuk melayu bersatu..
janganlah manuding diri pada pihak lain tapi cubalah untuk saling menghormati dan menegur dengan berhemah.

Yes2ISA said...

salam,

Saya amat setuju dgn fakta-fakta yg di kemukakan oleh tuan punya blog.

Keep on writting and persevere.
Sekarang bukan masa untuk leka kerana mungkin suatu hari nanti kami akan sedar ketika sudah terlambat.

Salam Perjuangan!