Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang
tertekan serta tidak mampu membalas hujah Datuk Abdul Rahman Dahlan
(BN-Kota Belud) yang menggelarkan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu sebagai
seorang rasis.
Bukan setakat itu, Kit Siang yang merupakan seorang anggota Parlimen
veteran dilihat hilang punca dan gagal menjawab isu mudah yang
ditimbulkan Abdul Rahman mengenai kenyataan pemimpin pembangkang itu di
laman Twitter, pada hari kematian Teoh Beng Hock pada 2009.
Tidak cukup dengan itu, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Azan
Ismail (PKR-Indera Mahkota) dilihat marah dan bangkit untuk
mempertahankan Kit Siang, namun hujah mereka dipatahkan dengan mudah
oleh Abdul Rahman.
Menurut Abdul Rahman, sifat perkauman menebal Kit Siang terbukti
apabila pada kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Julai 2009 telah menyeru
semua menteri berbangsa Cina dari MCA dan Gerakan mendesak Perdana
Menteri menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock.
“Apa kena-mengena menteri-menteri berbangsa Cina dalam Kabinet yang dikaitkan oleh Ipoh Timur?
“Kalau Ipoh Timur rasa perlu ada suruhanjaya siasatan diraja pada
waktu itu sudah tentu kena minta dengan Menteri Dalam Negeri dan Ahli
Parlimen Padang Rengas yang menjaga hal ehwal Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang
Keterangan (Pindaan) yang dibacakan buat kali kedua.
Ekoran itu, Kit Siang bingkas bangun, namun hujahnya tidak menjurus kepada soalan Abdul Rahman.
Sebaliknya, Kit Siang cuba mengelirukan dewan apabila mendakwa mesej
Twitter beliau pada tarikh tersebut turut mengaitkan menteri dalam UMNO
serta komponen lain Barisan Nasional (BN), bukan sekadar menteri
berbangsa Cina.
Abdul Rahman terus menyangkal penjelasan Kit Siang dan bertegas wakil
rakyat DAP itu memang menyampaikan mesej perkauman kerana beliau
merupakan `pengikut’ Kit Siang di Twitter.
“Pada masa dan ketika itu Ipoh Timur sengaja membangkitkan semangat
masyarakat Cina terhadap pemimpin Gerakan dan MCA. Ipoh Timur, periksa
`timeline’ (mesej Twitter pada 16 Julai 2009) anda, jangan `tweet’
seperti Kit Siang” tegasnya. - MyNewsHub
No comments:
Post a Comment