MUKADIMAH
Nama YUKTES VIJAY hanya diketahui ramai setelah pemuda berusia 25 tahun
itu menulis dua surat terbuka kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu.
Kandungan surat-surat itu yang antaranya disiarkan oleh blog AIDC
(http://www.anwaraidc.com) memang mengejutkan kerana cerita-cerita
dalaman berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadi Anwar,
Mohd. Saiful Bukhari Azlan turut didedahkan.
Lebih mengejutkan, Yuktes yang pernah berkhidmat sebagai pembantu
kepada peguam yang mengendalikan kes tersebut, Sankara Nair, mengakui
beliau sangat mengagumi Anwar yang dianggap sebagai idolanya.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan
jurufoto, HALIM KHALID di Kuala Lumpur baru-baru ini, Yuktes menyatakan
penyesalannya kerana membiarkan dirinya terpedaya dengan karisma Anwar. Matlamat perjuangannya kini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia
tidak melakukan kesilapan yang serupa. Tegas Yuktes, beliau tidak mahu
melihat Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.
MINGGUAN: Bilakah saudara mula bertemu dengan Anwar?
YUKTES: Tiga minggu selepas saya bekerja dengan Sankara Nair.
Lokasinya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, kes saman fitnah Anwar
terhadap Dr. Mahathir. Saya memang sangat gembira. Maklumlah, dapat
berjumpa dengan idola saya buat kali pertama. Malah, saya bercita-cita
ingin menjadi seperti Anwar. Beliau kata ingin membawa reformasi di
negara ini dan melawan korupsi. Saya pun percaya kata-kata Anwar. Siapa
yang tidak suka kalau ada orang yang ingin membawa kebaikan untuk negara
kita.
Pada perjumpaan pertama itu, saya dapati Anwar seorang yang mudah
mesra. Soalan pertama yang beliau tanya ialah berapa umur saya. Saya pun
memberitahu Anwar umur saya 22 tahun. Kemudian, beliau tanya sama ada
saya sudah mengisi borang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi
saya jawab tidak berminat dalam bidang politik kerana ingin menjadi
seorang peguam.
Kembali kepada kisah saya bekerja dengan Sankara Nair. Saya tidak
merungut sedikit pun sebab saya rasa seperti sangat beruntung kerana
didedahkan dengan kes yang paling besar dan berprofail tinggi di
Malaysia pada masa itu. Saya baru sahaja tamat pengajian. Jadi, mengapa
saya perlu merungut? Semua kawan-kawan saya mahu berada di tempat saya.
Ketika saya mula menghadiri perbicaraan kes itu di mahkamah, Mohd.
Saiful Bukhari telah selesai memberi keterangan. Berdasarkan keterangan
Mohd. Saiful Bukhari dan nota-nota mahkamah, saya mendapati ada sedikit
persamaan antara kami berdua. Mohd. Saiful Bukhari memberitahu mahkamah,
Anwar ialah idolanya. Anwar pun idola saya ketika itu. Pada masa itu
saya amat membenci Mohd. Saiful Bukhari kerana beliau cuba mencaci idola
saya.
Perasaan saya terhadap Anwar boleh diibaratkan seperti perasaan
seorang peminat terhadap selebriti pujaannya. Apa sahaja yang Anwar
kata, saya percaya. Secara jujur, saya amat membenci akhbar Utusan
Malaysia dahulu. Sekiranya saya dapati nasi lemak dibungkus dengan
akhbar Utusan Malaysia, saya pasti tidak akan membelinya.
Bagaimana saudara tersedar dengan tembelang Anwar?
YUKTES: Kesangsian terhadap Anwar timbul pada 21 Mac 2011. Saya pasti
100 peratus kerana itu tarikh lahir saya. Kira-kira pukul 2 petang,
Sankara Nair memasuki pejabat dan mengajak saya ke rumah Anwar di
Segambut Dalam. Di dalam kereta, Sankara Nair memberitahu, beberapa
orang kenamaan bergelar Datuk sedang menayangkan video seks kepada
sekumpulan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara. Pada masa itu, saya
tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak mendengar sebarang berita pun.
Tiada laporan tentang perkara itu oleh MalaysiaKini.
Tiba di rumah Anwar, saya lihat isterinya yang juga Presiden PKR,
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Tian Chua;
Setiausaha Akhbar Anwar, Ikmal Ahmad; pemimpin PKR, R. Sivarasa dan dua
lagi individu yang saya tidak kenali berkumpul di sebuah bilik. Kalau
tidak silap, pada masa yang sama, kumpulan wartawan yang pertama sedang
menonton video seks di Hotel Carcosa Seri Negara. Lima minit kemudian,
Anwar memasuki bilik itu dengan memakai singlet dan kain sarung. Beliau
duduk di kerusi dan saya seterusnya menyatakan rasa simpati terhadap
beliau dan berjanji akan mempertahankan namanya.
Kami berbincang bagi mencari alasan bagi menafikan dakwaan yang bakal
timbul susulan penayangan video seks itu. Salah satu alasan yang
dicadangkan adalah video seks tersebut direka menggunakan teknologi CGI
(computer-generated imagery). Saya beritahu Anwar, alasan ini sukar
diterima kerana penghasilan klip video berdurasi 15 minit menggunakan
teknologi CGI memerlukan perbelanjaan yang besar. Anwar kata UMNO ada
banyak duit.
Semasa berbincang, kami juga mencipta alasan kononnya
lelaki dalam video seks itu memakai topeng. Seperti yang dipraktikkan
dalam filem Hollywood. Namun, buat pertama kalinya, saya rasa kurang
senang dengan Anwar. Saya berkata di dalam hati, tiada siapa yang tahu
lelaki di dalam video itu ialah Anwar. Mengapa beliau panik?
Apa reaksi Anwar ketika itu?
YUKTES: Bila dalam keadaan resah, Anwar akan menggerakkan jari-jari
tangannya. Saya melihat situasi yang sama berlaku dan muka beliau
kelihatan resah. Dalam keadaan normal, riak wajah Anwar ceria dan
peramah. Setelah kumpulan kedua dibawa masuk menonton video seks di
Hotel Carcosa Seri Negara, timbul desas-desus mengatakan seorang
pemimpin pakatan pembangkang terlibat. Tetapi, sesiapapun boleh
dikaitkan.
Boleh jadi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar atau
Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Mengapa Anwar harus panik. Saya tidak
fikir Kit Siang akan panik setelah mendengar desas-desus itu. Saya pun
hairan. Anwar seorang yang rasional dan bijak. Mengapa Anwar panik
disebabkan oleh video yang beliau sendiri tidak pernah menontonnya?
Saya masih ingat lagi kami dihidangkan teh dan karipap oleh Dr. Wan
Azizah. Selepas sejam berada di rumah tersebut, saya perasan Dr. Wan
Azizah berbisik kepada Anwar, Bang, jam tak ada." Pada masa itu, saya
tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Dr. Wan Azizah. Saya terdengar
Anwar seolah-olah berkata, Tak apa, tak apa, tak apa." Tidak lama
kemudian, saya kembali ke pejabat dan imej video tersebut mula tersebar.
Sankara Nair memberitahu saya, isu itu masih belum membabitkan soal
perundangan dan kami tidak perlu masuk campur kerana akan diuruskan oleh
budak-budak politik.
Sebelum keluar dari rumah, saya terdengar mereka
membuat perancangan berkaitan dengan perut buncit. Semasa Anwar
menunjukkan perutnya dahulu, beliau masih memakai baju. Namun, semasa di
rumah Anwar pada 21 Mac 2011, saya nampak perutnya memang buncit.
Kesangsian saya terhadap Anwar semakin bertambah.
Saya semakin ragu apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah membuat
kenyataan meminta Anwar menjelaskan di manakah jam tangan Omega. Saya
kaitkan kenyataan Shazryl Eskay itu dengan bisik-bisik di antara Dr. Wan
Azizah dan Anwar. Pada masa itu, kelihatan seperti masuk akal.
Bagaimanapun, saya tidak berfikir panjang tentang perkara itu.
Saya
fikir, setiap lelaki ada keperluannya sendiri, jadi apa masalahnya.
Saya tahu perbuatan yang ditunjukkan dalam video seks itu salah mengikut
Islam tetapi saya anggap itu perkara biasa. Saya pun tidak kisah. Pada
masa yang sama, perbicaraan kes tuduhan Anwar meliwat Mohd. Saiful
Bukhari sedang berjalan.
Mengikut pemerhatian saudara, bagaimana sikap Anwar semasa perbicaraan kes itu?
YUKTES: Beliau selalu berdolak-dalik. Isu laporan perubatan oleh
Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) merupakan salah satu contoh. Anwar kata
laporan itu bermasalah kerana tidak diisi dengan betul. Saya bukan
peguam tersohor seperti Karpal Singh tetapi secara logiknya, kita
seharusnya memanggil individu yang mengisi borang itu ke mahkamah. Lebih
mudah untuk membuat pengesahan dengan individu terbabit.
Sebaliknya,
Anwar mendesak supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd.
Diah digantikan dengan hakim yang lain. Tiga kali Anwar mengemukakan
permohonan menukar hakim. Mengapa Anwar berbuat demikian? Pada masa itu,
situasi perbicaraan seperti memihak kepada pihak pembelaan. Saya
kemudiannya menyedari semua itu hanyalah permainan Anwar. Itulah
sebabnya perbicaraan kes tersebut memakan masa paling lama dalam sejarah
Malaysia. Tiga tahun lebih.
Semua orang sangka perbicaraan itu
konspirasi UMNO dan Barisan Nasional (BN). Sebenarnya, tidak. Bagaimana
keadaan itu boleh berlaku? Ia disebabkan tindakan Anwar memfailkan
sebanyak 56 permohonan dan rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah
Persekutuan.
Anwar juga pernah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
terlibat dalam konspirasi kes liwat Mohd. Saiful Bukhari. Saya mula
sedar kes itu bukan satu konspirasi apabila pihak pembelaan menyoal ibu
angkat Mohd. Saiful Bukhari, Datuk Mumtaz Jaafar. Mumtaz memberitahu,
beliau tidak mahu membawa Mohd. Saiful Bukhari berjumpa dengan isteri
Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Jadi, Mumtaz membawa Mohd. Saiful
Bukhari bertemu Pegawai Khas Najib, Khairil Anas Yusof untuk membuat
temu janji.
Semasa perbicaraan, saya masih kurang jelas apa yang sebenarnya
berlaku. Setelah bekerja di pejabat penyandang kerusi Parlimen Hulu
Selangor, P. Kamalanathan, baru saya tahu. Katakan ada seorang pemuda
ingin berjumpa Kamalanathan berhubung permohonan biasiswa dan saya
mengaturkan temu janji antara mereka berdua. Namun, sekiranya pemuda itu
mengemukakan masalah lain dalam pertemuan itu, Kamalanathan tidak
bersalah. Begitu juga dengan Najib. Beliau tidak tahu tentang masalah
sebenar Mohd. Saiful Bukhari. Najib yang pada masa itu Timbalan Perdana
Menteri bertemu Mohd. Saiful Bukhari atas temu janji diatur Pegawai
Khasnya. Selepas Mumtaz disoal siasat, baru saya tahu penglibatan Najib
di dalam kes Mohd. Saiful Bukhari adalah secara tidak langsung.
Sebagai
graduan undang-undang, saya percaya dengan apa yang saya lihat. Memang
tiada langsung bukti yang membabitkan Najib dalam konspirasi seperti
yang didakwa Anwar.
Kami juga menerima maklumat Timbalan Ketua Polis Pahang sekarang,
Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof (pada masa itu berpangkat Asisten
Suprintendan) pernah mengadakan pertemuan dengan Mohd. Saiful Bukhari di
sebuah hotel di Shah Alam, Selangor. Jadi, kami fikir kes ini satu
konspirasi. Anwar juga begitu yakin beliau akan dipenjarakan. Katanya,
cemarkan nama BN sebanyak yang mungkin.
Saya juga meragui hujah-hujah yang dikemukakan Anwar bagi menjelaskan
sebab beliau berada di Kondominium Desa Damansara yang dikatakan
sebagai lokasi kejadian liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari. Anwar kata
tujuannya berada di kondominium itu adalah untuk berjumpa pakar ekonomi.
Fakta itu tidak pernah dibuktikan.
Masalahnya, terdapat rakaman video
menunjukkan dua lelaki Cina masuk ke dalam kondominium tetapi apabila
Mohd. Saiful Bukhari masuk, dua lelaki terbabit telah keluar. Kami di
pihak pembelaan mencari jalan untuk menafikan Mohd. Saiful Bukhari
berada di dalam bilik bersama Anwar. Jadi, saya menyamar sebagai ejen
hartanah dan dibenarkan masuk ke kondominium terbabit setelah memberi
kata laluan Mokhtar kepada pengawal keselamatan.
Timbul idea pada masa
itu. Saya lihat ada kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam
pergerakan keluar dari lif tetapi tiada CCTV yang merakam pergerakan
masuk ke dalam kondominium. Undang-undang sebenarnya berkait rapat
dengan aspek teknikal. Dengan memanipulasi aspek teknikal, kami telah
berjaya mencipta keraguan munasabah. Mohd. Saiful Bukhari memang berada
di dalam kondominium tetapi tiada bukti menunjukkan beliau berada di
dalam bilik yang sama dengan Anwar.
Walaupun berjaya mencari jalan untuk membantu Anwar, rasa sangsi
terhadap idola saya itu masih ada. Saya sering ponteng kerja. Namun,
saya sering berkata kepada diri sendiri, Apa masalahnya kalau kita ada
seorang Perdana Menteri yang biseksual?'' semata-mata untuk menyedapkan
hati. Saya juga semakin kurang rapat dengan Anwar. Semasa menyaksikan
perbicaraan kes Anwar dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari, saya selalu
duduk di bahagian belakang dan tidur. Keluarga saya pun mula menghadapi
masalah kewangan. Saya terpaksa meminjam duit daripada kawan-kawan. Ada
di antara mereka yang mencaci saya tetapi saya tidak tergamak
memberitahu mereka, saya tidak dibayar gaji walaupun bekerja untuk
Anwar. Ironinya, semua kawan-kawan saya itu merupakan penyokong pakatan
pembangkang.
Difahamkan saudara telah menulis tiga surat terbuka kepada Anwar
setakat ini. Dari surat-surat itu, dapat diandaikan saudara seperti
membenci Anwar. Apakah punca yang menyebabkan saudara berubah hati
terhadap beliau?
YUKTES: Kebencian terhadap Anwar yang pernah saya jadikan idola
timbul selepas demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur tahun lalu.
Untuk
makluman, saya turut menyertai demonstrasi itu. Saya berada di sekatan
polis paling hadapan yang memisahkan peserta demonstrasi dan Dataran
Merdeka. Kira-kira pukul 5 petang, saya ternampak sekumpulan ahli-ahli
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menendang sekatan polis.
Petugas-petugas Unit Amal Pas cuba menghentikan perbuatan itu tetapi
ahli-ahli SAMM terus melakukannya.
Selepas itu, pihak polis mula bertindak. Saya juga nampak Tian Chua
berdiri berhampiran sekatan polis. Dalam suasana yang agak kecoh itu,
saya terlihat pihak polis cuba menahan seorang lelaki manakala seorang
wanita yang dipercayai kenalan lelaki itu cuba menghalang. Tanpa
membuang masa, saya cuba menyelamatkan wanita terbabit. Kemudian,
berlaku pergelutan antara saya dan beberapa anggota polis dan akhirnya
saya terlantar di hadapan perkarangan Kelab Diraja Selangor.
Ketika itu, saya dapat melihat wajah sebenar Tian Chua. Beliau tahu
saya bekerja untuk siapa. Sebagai seorang manusia, Tian Chua
sekurang-kurangnya akan berdiam diri atau memberi saya minum air.
Sebaliknya, Tian Chua terus memberi ceramah secara spontan dan
mengaitkan saya sebagai mangsa keganasan polis. Tian Chua tergamak
menjadikan saya sebagai bahan untuk berceramah.
Kecederaan yang saya
alami agak parah dan saya dirawat di Hospital Kuala Lumpur selama empat
hari. Semasa terlantar menahan kesakitan di hospital, tidak pernah walau
sekali pun Anwar melawat saya atau menghubungi saya untuk bertanya
khabar. Saya semakin geram dengan perangai Anwar setelah melihat rakaman
video di YouTube yang menunjukkan beliau memberi isyarat tangan kepada
peserta demonstrasi untuk merempuh sekatan polis. Saya tahu peserta
demonstrasi tidak akan bertindak begitu sekiranya tiada arahan daripada
Anwar dan saya tahu arahan itu memang salah.
Sivarasa pernah menghubungi saya sebaik sahaja keluar dari hospital.
Pada mulanya, saya gembira kerana masih ada pemimpin PKR yang prihatin
dengan nasib saya. Namun, kegembiraan itu pudar apabila Sivarasa meminta
saya menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam tentang
Bersih 3.0 pada 11 Mei 2012. Sivarasa mahu saya mengumumkan bahawa saya
dipukul anggota polis kerana membantu Anwar. Saya amat kesal dengan
Sivarasa kerana saya ditangkap bukan atas sebab itu. Memang saya salah
kerana menghalang tugas polis menahan peserta demonstrasi. Saya tidak
menghadiri EGM Majlis Peguam itu setelah Sankara Nair menasihatkan saya
tidak perlu melakukan seperti yang diminta Sivarasa.
Mungkin ada pihak yang menuduh saudara menulis surat-surat terbuka itu atas motif politik.
YUKTES: Tiada motif politik langsung. Memang saya bekerja dengan
Kamalanathan sejak September 2012 tetapi beliau tidak tahu langsung
tentang surat-surat yang saya tulis. Kamalanathan hanya tahu setelah
membaca surat-surat yang disiarkan portal berita Free Malaysia Today.
Saya mengagumi Kamalanathan setelah melihat sendiri keikhlasan beliau
berkhidmat untuk rakyat. Kamalanathan ialah imej seorang ahli politik
yang saya ingin lihat pada diri Anwar. Malangnya, Anwar lebih banyak
berpolitik daripada membantu rakyat.
Mengapa saya berani menulis surat terbuka kepada Anwar? Saya tidak
mahu negara ini hancur sekiranya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.
Saya tidak faham kenapa masih ada orang yang percaya dengan janji-janji
kosong Anwar hendak turunkan harga minyak, hapuskan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turunkan tol. Saya bukan
pakar ekonomi tetapi bila Anwar kata keuntungan Petronas kira-kira RM70
bilion setahun akan digunakan untuk menampung kos subsidi, ia seperti
tidak logik.
Bila harga minyak diturunkan, sudah tentu keuntungan
Petronas semakin menyusut, bukan RM70 bilion lagi. Saya berani bertaruh,
Anwar tidak akan menunaikan semua janjinya sekiranya beliau mengambil
alih pentadbiran negara.
Saya juga bosan dengan sikap Anwar apabila diasak dengan
soalan-soalan berkaitan skandalnya oleh pihak media. Dalam isu video
seks, saya tidak faham mengapa Anwar tunjukkan perutnya kepada orang
ramai. Langkah terbaik adalah tunjukkan jam tangan Omega sekiranya
beliau masih menyimpannya.
11 comments:
terbaik la yuktes... good job bro and goodluck for your future... and future malaysia too...
Yuktes... You had done a good job to save MALAYSIA from an idiot politician.
ada ke pencacai najis yang nak percaya?
Good job bro..
bro, an honest answer. all the best in your future undertaking
dgdfdafdf
nice story, i think u should change ur blog layout.its kinda looks a bit childish u know,same as ur story.
good luck and spend ur "halal" money wisely
Hi Yuktes Vijay..
saudara ada menyebut tentang masalah keluarga saudara yg menghadapi masalah kewangan. Tidak kah saudara sedar iaitu bila "wang" disebut disini, ramai yg akan berkata saudara mencari publisti untuk mendapatkan 'wang' bagi menampung keluarga. Lumrah manusia akan menuduh begitu apatah lagi saudara bekerja tanpa dibayar gaji. Saya percaya dgn saudara sbb saya pernah bekerja dgn syarikat guaman dimana peguam2 muda menjalani praktikal hanya dibayar allowances.
Saudaa sebagai penganut ugama hindu, tentu percaya kepada tuhan hanuman yg ada tido motto... 1)speak no evil 2) listen no evil 3) see no evil.
selamat majujaya dalam karier anda.
maaf atas kesilapan menulis diatas :
ayat pembetulan;
Saudara sebagai penganut ugama hindu, tentu percaya kepada tuhan hanuman yg ada tiga motto ini :1)speak no evil 2) listen no evil 3) see no evil.
selamat majujaya dalam karier anda.
bagus la kamu sdh awal sedar dan berani menyatakan kesedaran tersebut.saya rasa ramai lagi yg sudah sedar tapi takut untuk menyatakannya.
syabas dan tahniah bro..
Kudos to u Yuktes. Anda mungkin telah menyelamatkan negara ini daripada manusia yang hanya nampak baik diluarannya sahaja, tetapi sebenarnya pemimpin yang penuh bergelumang dosa, penuh tipudaya. Malangnya masih ada rakyat yang tertipu dengan mainan dan sandiwara politiknya, akibat pandainya dia bermain kata-kata dan menyesatkan manusia. Moga diberikan hidayah...
Post a Comment