Cerita pasal kemungkinan pilihan raya kecil DUN Galas bukanlah cerita baru. Malah ketika jentera BN dan pakatan pembangkang khususnya PAS sedang ‘berperang’ di DUN Manik Urai, kisah pilihan raya kecil DUN Galas turut jadi topik perbualan. Tambahan pula ada pihak tidak bertanggungjawab sebar khabar angin kononnya Adun Galas, Che Hashim Sulaima, daripada PAS sudah meninggal dunia. Padahal beliau masih hidup walaupun kesihatan terjejas akibat kanser usus.
Jika tidak silap, sekurang-kurangnya tiga kali penyebaran berita dan sms palsu kononnya Che Hashim sudah meninggal dunia termasuk pertama kali selepas wakil rakyat itu terbabit kemalangan jalan raya.
Ketika berkempen di Manik Urai dan tersebar berita kononnya beliau semakin tenat selain ada mendakwa sudah meninggal dunia, ada pihak mula mencongak siapakah calon paling sesuai bertanding di Galas.
Nama yang jadi sebutan hangat adalah Tengku Razalegh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang.Kebetulan DUN Galas dalam kawasan parlimen pemimpin veteran UMNO berdarah raja itu. Ada pendapat, Ku Li boleh menang besar kalau bertanding.
Tidak timbul soal beliau sudah jadi ahli parlimen kerana dalam pembangkang, ramai juga pemimpinnya bertanding dan menang dua kerusi termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim , Lim Guan Eng dan Azmin Ali.
Pendapat lain sekiranya Ku Li bertanding dan menang, beliau boleh menjadi Ketua Pembangkang BN di Kelantan serta dapat menggerakkan jentera parti dengan lebih berkesan bagi menghadapi pilihan raya ke 13.
Cerita lain pula kononnya Ku Li bolehlah dilantik sebagai Menteri Besar jika menang pilihan raya umum nanti. Bagaimanapun, selepas Che Hashim benar-benar kembali ke rahmatullah petang Isnin akibat kanser ususnya itu, pilihan raya yang sudah jadi sebutan sejak setahun lalu tidak dapat dielakkan. Cuma siapa akan dipilih BN untuk mengalas cabaran menentang calon PAS masih belum diputuskan pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan BN.
Namun rasanya nama Ku Li pasti akan disebut-sebut jika BN mahu menang dengan menjadikan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang dimenangi Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai ukuran. Otai UMNO Negeri Sembilan itu memastikan BN menang besar dan tidak mustahil Otai Kelantan ini juga boleh memastikan kemenangan bergaya itu berulang. -Agenda Daily
1 comment:
Memang tepat sekali, sekiranga Ku Li jadi calon saya yakin dan pasti Umno akan menang besar, saya merujuk kepada Umno bukan BN kerana orang melayu sudah tidak percaya lagi dengan MCA dan MIC.
Post a Comment