Tiga tahun lalu, bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Prof.
Datuk Dr. Sidek Baba mengejutkan banyak pihak selepas bertindak
meninggalkan Ketua Pembangkang itu meskipun lebih 30 tahun bersahabat.
Namun, punca sebenar mengapa beliau yang pernah ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar meninggalkan
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak banyak didedah kepada
pihak luar.
Malah, media sendiri jarang berpeluang menemu bual Pensyarah Kanan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang bertanggungjawab
membangunkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Anwar.
Walau bagaimanapun, hari ini, Sidek akhirnya mendedahkan, masalah
keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti
antara tiga punca utama beliau bertindak meninggalkan Anwar.
Katanya, sebelum meninggalkan Anwar beliau menyiasat serta menemu
bual 28 individu yang sangat rapat dengan Anwar dan kemudian membuat
solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk.
"Anwar ketika kami bersama-sama dalam ABIM dulu sentiasa mengingatkan
saya bahawa seseorang pemimpin bukan sahaja kena bersih tetapi mesti
kelihatan bersih dan saya pegang erat amanat itu sampai sekarang.
"Namun, dalam siasatan selama tiga tahun sebelum meninggalkan beliau,
saya dapati terlalu banyak persoalan moral yang melingkari Anwar. Saya
pegang kata-kata saya ini kerana kesemua 28 saksi itu masih hidup,"
katanya.
Berikut adalah temubual antara akhbar Mingguan Malaysia dan Sidek Baba yang disiarkan pada 28 April 2013 yang lalu.
MINGGUAN: Bagaimana analisis Dr. terhadap aliran
fahaman yang terdapat dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam
hari-hari terakhir sebelum mengundi?
SIDEK: Aliran fahaman atau ideologi sesuatu parti amat penting
dianalisis dalam memilih kerajaan masa depan. Barisan Nasional (BN)
telah sekian lama memerintah dalam realiti masyarakat majmuk yang rumit.
UMNO sebagai teras BN telah berjaya membawa negara ini bergerak maju
dengan pertumbuhan ekonomi yang baik, pembangunan sistem pendidikan yang
peka terhadap perubahan, kemudahan prasarana yang moden, menyantuni
golongan miskin dan menjadikan Islam berkembang dalam institusi dan
organisasi.
Aku janji yang dibentangkan membayangkan kesinambungan rekod
yang lalu. Kelemahan tetap ada tetapi proses pembaikan dan pengukuhan
tetap terjadi. Aliran fahaman yang terdapat dalam Pakatan Rakyat
pelbagai.
DAP dengan aliran sosialis demokratnya ditunjangi faham
sekular "sama rata sama rasa" ingin menghasilkan negara berorientasikan
Konsep Malaysian Malaysia. Pas ingin membentuk sebuah negara Islam
berasaskan hukum Islamiah.
PKR melalui perjuangan Datuk Seri Anwar
Ibrahim ingin membangunkan sebuah negara liberal yang berasaskan
pluralisme agama. Ketiga-tiga orientasi ini sifatnya saling bercanggah.
Kepintaran Anwar, Pas berjaya dipengaruhi menerima konsep negara
berkebajikan dan sering dikritik oleh akar umbi. Sekali-sekala terdengar
Haji Hadi, Nik Aziz, Dr. Haron Din muncul dengan kenyataan Pas tetap
perjuangkan hudud dan negara Islam. Ia segera disanggah oleh Karpal
Singh. Karpal Singh pernah berkata "langkah mayat saya dulu" kalau ingin
laksanakan hudud dan negara Islam.
Anwar dengan faham pluralisme agamanya memperjuangkan kalimah Allah
boleh digunakan dalam versi Bahasa Melayu Bible sementara Majlis Syura
Pas berpendirian sebaliknya. Antara faktor syarak dan politik, faktor
politik diletakkan paling atas oleh Anwar. Ia adalah sesuatu yang amat
mendukacitakan kerana persoalan kalimah Allah berkait dengan persoalan
akidah.
Dr. Haron Din menyatakan ia akan tetap mempertahankan kalimah
Allah sehingga ke akhir hayat. Isu kalimah Allah pada hemat saya
bukannya isu biasa dan terpencil. Kalimah Allah memiliki makna dan
hakikat yang amat tersendiri dalam Islam.
Lebih-lebih lagi senario
gerakan evangelis amat aktif di rantau alam Melayu maka implikasi jangka
panjang boleh terjadi terhadap generasi muda Islam. Membentuk sebuah
kerajaan paling tidak memerlukan asas-asas fundamental yang sama
terutama dalam konteks Malaysia berasaskan perlembagaan yang ada seperti
isu hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan Islam.
Faktor merit
dan kaitannya dengan faktor sosio-ekonomi dalam memahami dan
menterjemahkan maksud keadilan dan hak asasi manusia, isu raja dan
kesultanan, isu-isu lain yang penting untuk memperkasa umat Melayu di
samping ruang yang seimbang untuk masyarakat bukan Melayu berperanan
untuk memajukan dirinya sekali gus membangun Malaysia.
Dalam manifesto
Pakatan Rakyat perkara di atas tidak jelas tetapi dalam aku janji BN ia
jelas. Kejelasan aku janji ini boleh menjadi asas kesinambungan yang
baik untuk Malaysia terus maju dan berubah dalam acuannya sendiri.
MINGGUAN: Mengapa soal integriti atau kewibawaan menjadi faktor penting dalam
pilihan raya? Apakah faktor kesinambungan penting dalam membangun sebuah
kerajaan?
SIDEK: Memang faktor integriti dan kewibawaan penting dalam
kepimpinan sesebuah parti politik. Kepimpinan harus bersifat amanah dan
telus. Terdapat sesetengah tokoh politik yang dipalitkan dengan masalah
kredibiliti yang serius.
Selalunya bila ini terjadi dalih dan helah
serta alasan yang diberi tidak meyakinkan. Pemimpin harus telus
membersihkan diri kerana ia pemimpin. Kalau pemimpin dilingkari isu
moral yang tidak selesai sukar dirinya untuk melakukan kepimpinan dalam
negara kerana masalah yang ada padanya menyebabkan masalah besar kepada
kepimpinan negara nanti.
Oleh itu isu integriti mempunyai kaitan rapat dengan asas
kesinambungan yang perlu ada dalam proses bina negara. Aku janji BN
mempunyai asas bahawa kesinambungan adalah sesuatu yang penting dalam
membangun kekuatan ekonomi, kecemerlangan pendidikan, kepekaan terhadap
pembangunan sosial, pemodenan infrastruktur, menjadikan patuh-syariah
terus berkembang dalam tijarah, muamalah, industri halal, sukuk dan
waqaf supaya Malaysia mampu dijadikan rujukan dan model kepada
pihak-pihak lain.
Tidak timbul masalah regime change atau
pertukaran kerajaan mengambil semangat Arab Spring. Situasi dan keadaan
di Malaysia jauh lebih berkembang ekonominya, aman dan stabil negaranya,
pendidikannya yang maju, peluang pekerjaan yang banyak akibat
pengurusan yang berintegriti dan prorakyat.
MINGGUAN: Baru-baru ini Dr. mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan banyak
pihak terhadap Anwar. Tentu banyak kerenah dan fitnah mengenainya yang
terpaksa dihadapi. Apa sikap Dr. terhadap perkara ini?
SIDEK: Dalam kes pertama Anwar serta pengalaman saya dalam ISA,
pendirian saya terhadap Anwar tidak berubah. Kes kedua yang melibatkan
Saiful Azlan Bukhari saya mula bertanya selepas menerima maklumat asas.
Saya lakukan pertemuan, kajian dan penelitian kepada bekas pegawai khas,
penasihat agama, setiausaha sulit dan peribadi, setiausaha politik dan
orang politik, Ketua Pemuda Keadilan dan para peguam, rakan-rakan rapat
yang pernah bersama dengannya dan ramai lagi.
Hasil kajian itu
menyebabkan saya mengambil kesimpulan bahawa Anwar mempunyai masalah
kredibiliti atau kewibawaan terutama atas isu pluralisme agama, hubungan
dengan pihak luar dan kredibiliti diri.
Walaupun isu zina dan liwat
tidak saya sebut ia adalah urusan Anwar dengan Allah kerana saya yakin
Allah Maha Mengetahui apa yang terjadi.
Seperti biasa pendirian yang saya ambil mendapat dukungan yang baik
dan fitnah serta mehnah yang serius dalam kalangan sesetengah pihak
tanpa usaha bertanya saya mengenai kajian yang saya lakukan. Saya
dilatih dalam tradisi ilmu dan dakwah.
Dakwah memberi pedoman kepada
saya supaya mempunyai maklumat yang cukup sebelum mengambil pendirian.
Ramai dalam kalangan kawan-kawan khususnya dalam ABIM mengkritik
pendirian yang saya ambil.
Prinsip yang saya pegang ialah ambil tahu
mengenai sesuatu yang kita patut tahu, Apabila kita tahu harus beritahu
kepada yang tidak tahu dalam kadar yang munsabah.
Terdapat di kalangan
kawan-kawan bersifat "mati-rasa" walaupun latar akademik dan
prosfesionalnya tinggi membina sifat taksub dan tidak terbuka untuk
bertanya. Seolah-olah tokoh yang mereka puja adalah "maksum" dan tidak
ada cacat-celanya.
Mereka tuduh saya melacur diri, digunakan oleh pihak lain, menerima
imbuhan bulanan RM15,000 setiap bulan, menerima tanah dan jualkan kepada
tauke Cina, melobi untuk mendapatkan jawatan rektor universiti ,
melakukan konspirasi yang tidak pernah wujud dan banyak lagi.
Malah
isteri saya bersilih hari menerima kecaman yang tidak sepatutnya malah
ada yang mendoakan saya jatuh terbujur kerana sikap yang saya ambil.
Alhamdulillah semangat saya masih kuat untuk menyatakan kebenaran kerana
apa yang dituduh itu semuanya fitnah belaka.
Saya seorang pendakwah,
seluruh fitnah yang dilontarkan kepada saya, saya maafkan mereka kerana
sesungguhnya mereka tidak tahu. Saya tidak mahu fitnah ini bakal membawa
kita ke kubur dan terus berdoa supaya kebenaran akhirnya akan tegak.
MINGGUAN: Ada orang yang mempertikaikan perjuangan untuk memperkasa umat Melayu
sebagai asabiah, rasis atau perkauman. Ada juga pihak melontarkan
fitnah kerajaan tidak berbuat sesuatu untuk Islam. Bagaimana Dr. melihat
hal ini?
SIDEK: Isu Melayu atau umat Melayu ini tidak ditangani secara adil.
Ia menjadi slogan politik yang menyebabkan pemikiran orang Melayu
berpecah dan bercelaru. Politik sindrom malu menyebut Melayu ini
bercanggah sama sekali dengan proses budaya dan tradisi sejarah
perubahan Melayu.
Proses perubahan orang Melayu dengan asas akidah,
ibadah, syariah dan akhlaknya berlaku dalam tempoh yang lama. Akibat
dakwah dan tarbiah berlaku pencerahan dalam tasawur dan cara hidup.
Tingkat penghayatan umat Melayu tentunya berbeza-beza.
Oleh itu amat
tidak adil memberi sempadan yang tajam antara Melayu dan Islam sehingga
menjadikan orang Melayu rendah diri dan serba salah menyebut diri
sebagai Melayu dan apa perkara yang berkaitan dengan Melayu.
Perjuangan
Pas di peringkat awal juga memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Abu
Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan Zulkifli Muhammad pemikiran
politik mereka terbina atas asas Melayu dan Islam. Hal yang sama juga
berlaku kepada UMNO memperjuangkan hal-hal bangsa, agama dan negara.
Cuma selepas revolusi Iran (1979) dan kemasukan Anwar (1982) Pas
mengambil sikap yang lebih radikal menuduh kemasukan Anwar dalam UMNO
tidak syarie dan terdapat ahlinya menuduh Anwar kafir.
Melayu sebagai suatu bangsa adalah ciptaan Allah adalah suatu fitrah (Al Hujurat:13). Rasulullah SAW amat suka kepada Kaum Quraish dan ia suatu fitrah. Ibnu Khaldun dalam kitabnya al Muqaddimah
memberi kupasan bahawa asabiah atau nasionalisme yang tidak menzalimi
orang lain adalah dibenarkan.
Contoh konkrit yang ada pada orang Melayu
ialah perjuangan memartabat bahasa Melayu dalam sistem ilmu dan
pendidikan adalah tidak bercanggah dengan Islam kerana terdapat ribuan
istilah al-Quran seperti amanah, rahmah, nimah, adil, solat, doa,
ikhlas, dakwah, masyarakah terdapat di dalam bahasa Melayu.
Melayu yang
sudah ditindikkan dengan akidah tauhid, ibadah yang luas skopnya,
syariah yang menjadi panduan urusan perbankan, taqaful, sukuk, waqaf,
usaha halalan tayyiba dan banyak lagi adalah testimoni kerajaan memberi
ruang yang sangat luas untuk Islam berkembang. Hakikatnya yang benar
katakan benar.
Yang salah disantuni dengan dakwah dan nasihat. Jangan
jadi manusia yang terikut-ikut bertugas diinstitusi dan organisasi Islam
tetapi masih tidak menerima hakikat bahawa kerajaan melakukan sesuatu
untuk Islam. Ia adalah tidak adil.
MINGGUAN: Dalam membuat pemilihan bijak dalam PRU-13 apa pertimbangan Dr.
supaya pilihan terhadap kerajaan adalah sesuatu yang wajar dan tepat?
SIDEK: Pertama, rekod pencapaian yang ada pada kerajaan terdahulu
dari sudut perancangan dasar dalam aplikasi pembangunan dan perubahan.
Kedua, memiliki dasar yang jelas membantu kelompok umat Melayu supaya
ditingkatkan pegangan (ekuiti) dan penguasaannya supaya terus maju dalam
ekonomi, pendidikan dan sosial di samping memberi ruang yang memadai
untuk orang bukan Melayu berpartisipasi.
Ketiga, ada ruang untuk Islam berperanan dalam erti kata yang luas.
Islam bukan sekadar agama yang menampilkan syiar dan ritual semata.
Islam harus diterjemahkan sebagai sumber dalam sistem dan tamadun.
Ia
berlaku pada masa yang lalu dan menuntut pengukuhan pada masa depan.
Keempat kita memerlukan sebuah kerajaan yang bersedia melakukan tajdid
atau transformasi supaya kita mengambil kira faktor setempat, negara dan
dunia dan mengambil manfaat berbanding dari Barat dan Timur untuk
diolah ke dalam acuan kita sendiri iaitu acuan Malaysia yang berasaskan
etika dan nilai.