Thursday, January 19, 2012

JURUWANG DISURUH PEGANG DAGING BABI - INI RESPON YANG DITERIMA

Asingkan kaunter bayaran barang haram

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat aduan seorang pekerja di sebuah pasar raya seperti yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia, 18 Januari 2012.

Berdasarkan aduan itu, juruwang di pasar raya itu telah diarahkan oleh pihak pengurusannya supaya memegang daging babi tanpa berlapik. Perkara ini amat sensitif bagi orang Islam.

Kebanyakan pasar raya di negara ini mempunyai ruangan khas untuk meletakkan barang jualan tidak halal bagi memisahkannya dengan barang lain tetapi mungkin tidak mempunyai kaunter bayaran yang memisahkan khusus untuk menerima bayaran bagi barang tidak halal seperti yang dinyatakan dalam surat pengadu.

Semua pihak pengurusan pasar raya di negara ini perlu lebih sensitif kepada agama dan budaya rakyat di negara ini dan mereka perlu menghormati agama dan budaya pekerja mereka dengan mengambil kira setiap perkara yang sensitif serta mengelakkan daripada melakukan tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya orang lain.

Sehubungan itu, CAP mencadangkan kepada semua pihak pengurusan pasar raya di negara ini agar mengadakan lorong kaunter bayaran khusus untuk membuat bayaran barang tidak halal semoga perkara yang sensitif seperti ini dapat dielakkan.

CAP turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurus dan pasar raya itu bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pekerja ini.

Semua pihak perlu peka dan sensitif dalam menjaga keharmonian hubungan antara semua bangsa dan agama memandangkan kita semua berada di negara berbilang kaum dan agama.

Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa berkenaan agar tidak timbul konflik yang lebih buruk pada masa hadapan.

Arahan pengurusan pasar raya tidak munasabah

SAYA merujuk kepada Forum Utusan Malaysia bertarikh 18 Januari 2012 (Rabu).

Saya seorang bukan Islam yang sekurang-kurangnya mengetahui sensitiviti orang Islam mengenai daging babi yang dikategorikan haram.

Maka, orang bukan Islam perlu prihatin untuk menghindarkan penjualan, penggunaan dan pemakanan daging babi di hadapan orang Islam sebagai langkah untuk menghormati sensiviti orang Islam di negara kita.

Dalam insiden yang dihadapi Juruwang Teraniaya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kamunting, Taiping, saya turut menaruh malu serta kesal dengan sikap pihak pengurusan atasan pasar raya itu yang kononnya meletakkan pelanggan di tempat utama, sebaliknya telah membelakangkan suasana harmoni dan tolak-ansur yang kita kecapi selama ini. Sebagai pengusaha perniagaan yang mengutamakan keuntungan, tidak dapat dinafikan bahawa organisasi perniagaan perlu mengutamakan permintaan pelanggan memandangkan persaingan kian sengit bagi perniagaan pasar raya.

Namun, apabila permintaan pelanggan jelas bercanggah dengan suasana harmoni dalam konteks masyarakat majmuk (seperti insiden dalam kes ini), maka menjadi tanggungjawab pihak pengurusan atasan pasar raya untuk menilai baik buruk langkah yang bakal diambilnya.

Saya berpendapat tindakan pengurusan atasan pasar raya dalam menegur dan mengugut pekerja Islam untuk memegang daging babi tanpa lapik merupakan arahan yang bukan sahaja tidak adil, malahan tidak munasabah terhadap pekerja Islam. Tindakan pihak atasan ini turut bercanggah dengan kontrak pekerjaan yang sedia termeterai antara majikan dengan pekerja.

Akta Kerja 1955 jelas menyenaraikan kewajipan majikan dan pekerja. Terma kontrak tersurat mewajibkan majikan membayar gaji sebagai balasan untuk pekerja yang menunaikan tanggungjawabnya di tempat kerja, membayar elaun lebih masa, memberi cuti rehat, cuti sakit dan sebagainya kepada pekerja. Manakala terma tersirat majikan adalah tidak menimbulkan suasana tegang di tempat serta tidak mengarahkan pekerja membuat tugas yang menyalahi undang-undang.

Dalam kes ini, tindakan majikan menegur dan mengugut pekerja Islam untuk memegang daging babi jelas melanggar terma kontrak tersirat majikan yang mengkehendaki majikan untuk tidak menimbulkan suasana tegang di tempat kerja. Keprihatinan majikan terhadap sensitiviti pekerja Islam terutamanya dalam hal makanan haram haruslah diberi perhatian.

Dalam konteks ini, majikan telah memecah terma kontrak tersirat yang membolehkan pekerja yang terkilan membatalkan kontrak pekerjaannya, lantas menuntut pampasan terhadap majikan seolah-olah dirinya telah dipecat.

Pada masa yang sama, insiden ini juga harus dilaporkan kepada kesatuan sekerja bagi membolehkan isu ini dipanjangkan demi perhatian pihak berkuasa. Harapannya adalah untuk mengelakkan insiden sama terjadi bukan sahaja di organisasi yang sama, malahan ia turut menjadi iktibar di organisasi lain.

Mengikut kod penjualan makanan haram di pasar raya, ia seharusnya diasingkan di suatu ruang di mana juruwang bukan Islam harus ditugaskan untuk urusan pembayaran. Dalam insiden ini, majikan telah melanggar kod etika penjualan makanan haram yang sekaligus membolehkan lesen perniagaannya digantung oleh pihak berkuasa.

No comments: