Saturday, August 29, 2009

Menjelang 31 Ogos : Wajib tonton 1957 Hati Malaya


Filem 1957 Hati Malaya bukan sekadar filem sejarah yang mencatatkan kronologi sahaja malah ia mampu menyuntik semangat patriotik di kalangan penonton.

Memaparkan khazanah negara itu antaranya memaparkan gambar Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar serta saat-saat bendera Malayan Union diturun dan merdeka dilaungkan.

Menerusi filem tersebut juga kita dapat melihat betapa tingginya semangat jati diri kaum Melayu ketika itu. Penduduk Malaya yang inginkan kemerdekaan daripada British sanggup melucutkan barang kemas dan wang ringgit semata-mata untuk diberikan kepada Tunku sebagai perbelanjaan ke London.

Senario itu ditunjukkan sewaktu Tunku berucap menjelaskan yang dia dan rakan-rakan kekurangan perbelanjaan untuk menuntut kemerdekaan di London.

Semangat Merdeka

Ingatilah panorama penjuang bangsa yang telah memerdekakan kita dari penjajahan. Hari ini, kita harus pertahankan dan kekalkan negara yang diwarisi dengan berpegang kepada intergriti negara, kita punya tanggungjawab bersama untuk pastikan kehidupan lebih baik untuk setiap rakyat Malaysia. Kita harus membalas budi mereka dengan kekal bersatu dikukuhkan dengan bahasa kebangsaan dan warisan kita.


Sinopsis 1957 Hati Malaya

Hali, Salmi, Rafik, Ani dan Ang Lee, mewakili generasi muda Malaysia yang dating dari latarbelakang dan pemikiran berbeza, berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar ‘1957 - Hati Malaya’. Dalam pencarian itu, mereka menemui pencintaan, persahabatan, kesetiaan dan memahami perjuangan 1957.

Mereka betul-betul mendalami dan menjiwai karektor dan peristiwa yang begitu emosi dan membawa mereka pada era semangat rakyat tanah Melayu bangkit menuntut kemerdekaan.

Filem ini turut memaparkan rakyat biasa miskin dan mundur di era penjajahan British yang mahu menjadi bangsa kelas pertama di bumi mereka sendiri. Mereka jatuh cinta dan bertemu cinta terhadap negara melangkaui perasaan emosi peribadi mereka. Watak ini menemui pengertian sebenar ‘pengorbanan’ dan ‘Merdeka”.

Filem memfokus kepada Tunku Abdul Rahman, pengasas kepada Parti Perikatan, yang menjadi Perdana Menteri pertama Malaya pada tahun 1957, walaupun mendapat tentangan secara halus dari British yang mahu melambatkan kemerdekaan.
Dan Datuk Onn Ja’afar, pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang dicadangkan oleh British pada tahun 1946.


Komen penulis...

Penulis bukanlah pengkritik filem yang baik tetapi penulis hanyalah penonton biasa. Kali pertama menonton filem ini benar-benar memberi kesan kepada jati diri serta menbangkitkan semangat patriotik kepada negara.

Syukur kepadaNYA kerana menganugerahkan kepada kita pemimpin yang bijaksana. Mereka membuka jalan dalam mencapai kemerdekaan negara melalui diplomasi bukannya melalui senjata ataupun pertumpahan darah.

Untuk rakyat Malaysia yang mudah lupa.. dan terus melupa dan lupa.. ini adalah filem untuk anda.

Filem 1957 Hati Malaya akan ditayangkan pada 30hb Ogos 1957, jam 10.00 malam di TV2. Selamat menonton.

Tuesday, August 25, 2009

Monfils, Roddick, Federer, Nadal dan politik Malaysia

GAEL Monfils, pemuda kulit hitam Perancis tiba-tiba menjadi buah mulut di negara itu dan seluruh dunia. Bagi peminat tenis beliau dikenali sebagai pemain muda pilihan ke-11 dunia yang mampu memberi ketegangan yang melampau kepada lawannya.

Monfils atau juga dikenali sebagai La Monf atau Sliderman membenam pemain pilihan ke-6 dunia dari Amerika Syarikat, Andy Roddick. Roddick tumpas straight set 6-4, 6-2, 6-3 dalam perlawanan penuh drama selama dua jam dalam sebuah stadium terbuka di Paris.

Sesiapa yang pertama kali melihat permainan Monfils, dia mempunyai gaya servis ala Roddick. Kedua-duanya mempunyai servis halilintar yang cukup tajam. Pada perlawanan itu, Roddick mencatatkan servis paling laju 224 km/j, manakala Monfils 213 km/j. Tidak hairan kerana kedua-duanya pernah diasuh di bawah jurulatih keturunan Algeria, Terik Benhabiles. Kini Monfils dilatih oleh jurulatih Australia keturunan Lebanon, Roger Rasheed. Keistimewaan Monfils, beliau adalah pakar pukulan ace. Pemain berusia 23 tahun berasal dari susurgalur keturunan Caribbean itu membuat 17 kali pukulan tanpa balas (ace) berbanding empat oleh Roddick.

Roddick cukup tertekan dengan corak permainan tepat dan konsisten lawannya itu. Apabila manusia mula tertekan, banyak perkara yang tidak terfikir akan dilakukan. Melihatkan kedudukannya terancam, Roddick mula menghendik ke arah pengadil. ''Bagi tahu saya semasa kita mula main tadi cuaca macam mana? Cuaca tadi cerah kan? Sekarang ini cuaca macam mana, mendung kan? Sila jawab soalan saya!'' Roddick mendesak pengadil supaya menangguhkan perlawanan ke hari Selasa (malam tadi). Desakan itu dibuat di set terakhir - setelah beliau ketinggalan 2-3 dengan alasan cuaca mendung dan sukar melihat pergerakan bola.

Monfils tersenyum melihat gelagat Roddick itu. Dia tahu Roddick mula tertekan dan ia memberi kelebihan kepadanya. Pengadil tidak layan permintaan Roddick itu. Roddick kelihatan gementar, peluhnya menitik-titik dari topi putih kegemarannya. Tapi dia cuba menyembunyikan perasaannya. Pengadil minta perlawanan diteruskan untuk 30 minit lagi sehingga pukul 9.30 malam waktu Paris. Tiada lampu limpah di stadium terbuka dan waktu siang di musim panas Eropah sekarang adalah panjang sehingga ke lewat malam.

Dalam permainan tenis atau apa saja permainan mahupun politik, ketahanan psikologi amat penting. Sebagai pemain dunia soal fizikal dan taktikal seharusnya sudah lengkap, tapi ketahanan mental adalah segala-galanya. Apabila emosi mula menguasai diri, prestasi fizikal akan terjejas, taktikal tidak menjadi dan tumpuan kepada perlawanan akan melencong. Semasa Monfils memungut mata 5-3 di set terakhir dia berkata-kata seorang diri sambil tangannya menerjah ke hadapan yang mungkin bererti 'fokus'. Dengan sokongan padu penyokong senegaranya yang memenuhi stadium, mereka berdiri menyokongnya di mata akhir perlawanan. Dan beliau berjaya. Seperti biasa, Monfils menari-tari meraikan kemenangan, Roddick pula cepat-cepat meninggalkan gelanggang.

Roddick kalah dari segi mental, Monfils berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir bertemu dengan pemain pilihan ke-2 dunia Roger Federer.Dalam kejohanan tenis dunia yang lazim menampilkan pemain-pemain jelitawan dan kacak, Monfils mungkin tidak setampan pemain-pemain lain, tapi keupayaannya - pada tahun ini - tidak boleh diketepikan. Hanya kekuatan mental yang akan menentukan sama ada beliau boleh menumpaskan Federer, pemain yang cukup tenang dalam menghadapi lawan. Pada saingan kejuaraan tahun lalu, Monfils tewas kepada Federer di peringkat separuh akhir.

Jika mahu diberi sentuhan politik, sebenarnya percaturan perlawanan sukan, lebih kurang sama dengan percaturan politik. Cuba bandingkan percaturan politik di Malaysia dengan perlawanan Roddick dan Monfils itu. Ada persamaankah? Yang berkuasa seperti Roddick, tidak semestinya akan terus menang jika kekuatan mental, disiplin, fokus mulai terpesong.

Menariknya, siapakah yang akan menjuarai persaingan kali ini? Peluang kini terbuka luas setelah pemain gergasi pilihan pertama Rafael Nadal pun sudah tewas dan pilihan ke-4 Novak Djokovic juga turut bungkus.

Memetik kata-kata Nadal selepas kekalahannya (yang orang politik Malaysia boleh renungankan): ''Kekalahan tidak akan membuatkan kita berkembang, tapi anda juga harus sedar betapa sukarnya apa yang telah saya kecapi sehinggalah kekalahan ini, dan inilah yang anda perlukan kadang-kala. Kamu perlukan kekalahan bagi memberi nilai kepada kemenangan anda."Kata-kata Nadal itu cukup bermakna. Dalam konteks politik tanah air kekalahan bukan suatu pengakhiran, tapi ia adalah satu pengajaran. Kita tidak boleh selalu menang, kita perlu juga kalah supaya proses muhasabah diri berlaku. Ia adalah proses evolusi kematangan yang normal.

Konteks politik Malaysia....

Penulis menulis artikel ini sejurus selepas pengumuman keputusan pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Kepada parti UMNO, dengar dan fahamilah. Hakikatnya, UMNO masih disayangi oleh orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan UMNO sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, UMNO wajib mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Teruskan perjuangan kalian dan jangan sesekali mudah putus asa... anda pasti tidak akan keseorangan.


Sunday, August 23, 2009

Kempen Permatang Pasir : Macam rancangan Melodi la pulak...

Pelbagai cerita sensasi kita dengar menjelang hari pengundian di pilihanraya kecil Permatang Pasir pada hari Selasa depan.

Bukan cerita biasa tapi cerita-cerita yang mencetuskan kontroversi dengan tujuan mahu mencari publisiti bagi memenangkan calon yang bertanding.

Seakan tidak percaya bahawa cerita tersebut boleh digunakan sebagai umpan untuk memancing undi tapi itulah realiti politik sekarang. Isu peribadi dan keluarga calon akan dikorek sedalam-dalamnya hingga status perkahwinan turut menjadi mangsa.

Penulis memetik artikel yang ditulis di dalam blog Ruang Bicara Faisal

"Semalam mereka telah merosakan sebuah rumahtangga serta memalukan Rohaizat dan isterinya .Mereka mendedahkan Rohaizat berkahwin dua"...

"Ya, memang betul Rohaizat berkahwin dua. Mereka jerat Rohaizat dengan mencabar beliau menjawab secara terbuka tentang perkara berkenaan. Rohaizat berkahwin seorang lagi tanpa pengetahuan isteri pertamanya sehingga kini. Akhir sekali,isteri pertamanya mengetahui jua perkara sebenar".....

"Faham-faham sajalah bila isterinya telah mengetahui,apa lagi 'perang dunia ketiga' telah meletus . 'Perang' juga turut berlarutan sehingga ke keluarga isteri pertama Rohaizat. Rohaizat tidak putus-putus dilanda masalah gara-gara beliau enggan menurut kehendak PAS,iaitu menarik diri daripada bertanding".

Tak sangka bahawa parti itu sekarang begitu cekap meNERJAH atau mengorek rahsia besar calon yang bertanding. Nampaknya, kalau ada pilihanraya kecil akan datang perlulah dipastikan bahawa calon-calon mestilah mempunyai status 'maksum', tiada rekod disiplin ketika di sekolah rendah dan menengah, berkahwin cuma satu sahaja dan lain-lain. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga supaya tidak dimanipulasi atau diputarbelit oleh parti itu.


Mastermind dalam kerja-kerja sebegini akan cuba memaparkan cerita panas dan sensasi untuk dihidangkan kepada para pengundi Permatang Pasir. Makin sensasi cerita tersebut maka semakin tinggilah rating yang akan dicapai. (Mungkin rating ini digunakapai sebagai formula untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi).

Bagi penulis, ini adalah sumbangan dan cara parti itu berkempen kearah memajukan persada 'seni politik' tempatan. Terserah kepada pengundi untuk memilih paparan mana lebih menarik perhatian mereka dan membuat pertimbangan atau rujukan.

Adakah cerita sensasi ini memberi kesan kepada pengundi di Permatang Pasir?

Bagi penulis, pengundi di Permatang Pasir lebih mengenali calon yang bertanding. Cuma kesannya adalah kepada masyarakat yang berada di luar Permatang Pasir iaitu kita sendiri. Kita seperti lebih terdedah dan terpengaruh dengan cerita tersebut hingga menganggap ia seolah-olah sebagai isu nasional. Kita jadi pening dan keliru. Yang mana satu betul dan yang mana salah. Tapi tidak bagi mereka di Permatang Pasir. InsyaALLAH...


Saturday, August 22, 2009

Welcome Back, Ramadhan...


Satu tahun tidak terasa
Ramadhan telah kembali mengunjungi kita
Semoga apa yang dilalui dan dilakukan
Menjadikan kebaikan di bulan suci ini
Marhaban yaa Ramadhan

Penulis mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat islam tidak kira dimana jua anda berada. Semoga ramadhan ini membuka pintu keberkatan dan rezeki kepada kita semua.

Selamat bersahur, selamat berbuka puasa dan selamat menunaikan solat terawikh bersama keluarga tersayang...

Kepada mereka yang berada di perantauan, anda boleh mula melayan lagu "Dendang Perantau - P.Ramlee" mulai hari ini sehingga Hari Raya nanti (",)

Monday, August 17, 2009

Kata-katamu lebih tajam dari mata pedang...

Petikan dari berita mStar Online (klik sini)

Beliau yang mengetuai Parti Islam (konon????) menggunakan lidahnya untuk mengeluarkan kata-kata berikut...

"Anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin"....

"Terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota Umno"....

"Islam bawah Umno tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga".

Penulis seperti tidak berselera, muak dan jemu untuk memberi komen panjang mengenai kata-kata di atas. Cukuplah sekadar dengan beberapa ayat di bawah....

"Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya.

"Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. surah an-Nisa' ayat 59

Menurut ulama Salaf as-Soleh yang bersandarkan kepada dalil-dalil syara, bahawa orang yang suka menghukum masuk neraka dan mengkafirkan pemerintah, mengkafirkan penyokong pemerintah tersebut dan mengkafirkan orang-orang yang melakukan dosa besar, kerana mereka (yang mudah mengkafirkan seperti itu) adalah golongan Khawarij dan Muktazilah.

“Jangan kamu memaki hamun para pemimpin kamu, janganlah kamu dengki kepada mereka dan janganlah kamu membenci para pemimpin kamu. Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya perkaranya (bertakwa dan bersabar) adalah dekat.” – Hadith diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim. Disohihkan oleh Nasruddin al-Albani.

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).

Rasulullah telah menjelaskan tanda tanda khawarij :"Mereka suka membunuh (menghancurkan) Ahli Islam (terutama pemimpin yang tidak berhukum dengan hukum Allah dan pengikutnya) tetapi mereka membiarkan ahli berhala (orang orang yang benar benar jelas kekafirannya)" - Hadith Riwayat Bukhari, Muslim

Harapan Penulis...

Penulis mengharapkan supaya beliau ingat kembali apa yang telah diminta oleh DS Najib di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini ketika Perdana Menteri dalam rangka lawatan kerja ke Kelantan.

DS Najib meminta beliau menjaga perasaan orang UMNO dan tidak mengeluarkan perkataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak jika ingin mewujudkan kerjasama yang baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Dan ini jawapannya "beliau sedia menerima saranan Perdana Manteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menjaga perasaan dan sensitiviti ahli UMNO dalam mengeluarkan kenyataannya sehingga menyinggung pihak tertentu". (klik sini)

Semoga ALLAH SWT bersama-sama dengan orang yang benar...Amin.

Sunday, August 16, 2009

1Malaysia Itu Umpama Sebuah Blok Konkrit



Secara ringkasnya, 1Malaysia bertujuan mendidik rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini akan kepentingan bersatu kerana itulah kekuatan yang boleh membawa Malaysia lebih jauh di pentas dunia.

Dengan kata lain, 1Malaysia juga bertujuan mewujudkan keadilan kepada semua berdasarkan realiti politik di negara ini dengan setiap kaum ada hak dan kedudukan yang tertentu.

1Malaysia sudah lama wujud terutama dalam kalangan pemimpin utama dahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun V.T. Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock. Individu-individu yang tersenarai itu mewakili bangsanya sendiri yang secara tidak langsung telah berjaya mewujudkan bangsa Malaysia.

Negara ini tidak diduduki oleh satu kaum sahaja. Terdapat tiga kaum utama yang mewujudkan bangsa Malaysia termasuklah Melayu, Cina dan India (termasuklah pelbagai etnik/kaum di negeri Sabah dan Sarawak).


Mengapa 1Malaysia Diibaratkan Sebagai Blok Konkrit?

Seperti yang kita ketahui, untuk membina satu blok konkrit yang kuat/teguh memerlukan satu ramuan atau acuan yang secukupnya. Terdapat empat bahan asas dalam membina blok konkrit ini iaitu simen, batu, pasir serta air.




Penulis mengandaikan proses membina konkrit ini umpama membina konsep 1Malaysia. Bahan-bahan bagi membina konkrit tersebut akan mewakili setiap kaum di Malaysia. Secara mudahnya simen itu Melayu, batu itu Cina dan pasir itu India. Ketiga-tiga bahan ini akan dicampur-adukkan di dalam satu bekas (dianggap sebagai negara atau tanah air) bagi menjadi acuan simen yang cukup adunannya.





Bagi mereka yang berfikiran singkat, adunan itu mungkin dianggap sudah memadai untuk membina sebuah konkrit. Tapi mereka lupa bahawa terdapat satu lagi bahan penting yang amat diperlukan iaitu air. Air inilah yang menjadi medium dalam mengukuhkan antara simen, batu dan juga pasir. Dalam konteks negara, penulis menganggap air itu sebagai simbol perpaduan dan integrasi nasional.


Tanpa perpaduan dan integrasi, adakah Melayu, Cina dan India mampu menjadi sebuah blok konkrit yang kuat dan seterusnya mampu menghadapi cabaran pada masa hadapan?

Kesimpulannya mudah. Jika simen, batu dan pasir ini masih gagal diadunkan dengan air maka blok konkrit yang dibina akan mudah runtuh. Sebagaimana runtuhnya sesebuah bangunan maka seperti itulah runtuhnya sebuah negara dan tamadun.....

Saturday, August 8, 2009

Adakah demonstrasi jalanan itu satu gerakan subversif?


Kuala Lumpur Sesak

Kuala Lumpur telah menjadi sesak pada 1 Ogos 2009. Kenapa boleh sesak? Ada konsert percuma di tengah ibu kota? Atau ada majlis rumah terbuka rakyat (makan free)? Ataupun pasukan Manchester United main bola kat padang Dataran Merdeka? Bukan…bukan…



Sebenarnya ada satu majlis(majlis haram sebab ia perhimpunan tanpa permit) telah dijalankan pada tarikh tersebut iaitu perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA. Menurut tentatif program, antara acara yang akan dijalankan adalah berkumpul beramai-ramai di tengah jalan sambil menyanyi serta menjerit. Tak kisahlah sama ada suara mereka yang hadir itu sedap atau tidak yang penting suara jelas dan lantang.



Apabila ahli majlis sudah berkumpul sehingga mencecah 100,000 (tolak 90,000), maka acara seterusnya adalah acara ‘jalan kaki sambil berpimpin tangan’ menuju ke Istana Negara bertujuan untuk menyerahkan memorandum mansuhkan ISA kepada YDP Agong.

Bila ditanya kepada penganjur mengapa perlu diadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan ini? Mereka menyatakan bahawa ia diadakan atas tiket demokrasi dan kebebasan bersuara.

Demonstrasi Jalanan

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa gerakan demonstrasi jalanan/rusuhan ini merupakan salah satu ancaman dalaman kepada negara. Ia boleh dianggap satu gerakan membangkitkan sentimen rakyat untuk membenci dan menentang kerajaan yang memerintah.

Timbul persoalan di hati penulis iaitu adakah demonstrasi jalanan/rusuhan adalah satu gerakan subversif kerana gerakan ini turut bertujuan untuk membangkitkan rasa benci rakyat dan seterusnya menentang kerajaan secara terbuka termasuklah berdemo di jalanan.

Apa itu subversif?

Menurut DBP(Dewan Bahasa dan Pustaka) subversif bermaksud satu agenda yang bertujuan untuk melemahkan atau me­musnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dan lain-lain. Agenda tersebut boleh dijalankan dengan secara sulit atau secara terbuka.

Subversif Menurut Perlembagaan Persekutuan

PERLEMBAGAAN PE RSEKUTUANPART XI - KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT
Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.


(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan-

(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau

(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau

(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau

(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau

(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya, maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

Adakah rusuhan/demonstrasi jalanan itu subversif?

Pendapat penulis…

Penulis fikir adalah baik jika pihak kerajaan meluaskan fahaman di dalam makna subversif tidak sahaja subversif dari segi komunis, tetapi sebarang anasir yang tidak diingini(demonstrasi jalanan/rusuhan) yang ingin menjatuhkan tatahidup demokrasi di dalam negara ini. Ia hendaklah ditegah sama ada melakukan subversif itu dengan cara langsung atau tidak langsung.

Sudah terbukti bahawa ada puak-puak akan melakukan apa sahaja termasuklah menggunakan tipu helah dan daya bagi menjahanamkan tatahidup serta mengganggu gugat ketenteraman awam di negara ini di dalam subversif.