Saturday, November 28, 2009

Harimau itu sedang memerhatikan mangsanya menari..



Petang semalam saya berkesempatan untuk pergi ke Shah Alam untuk bertemu dengan kawan-kawan yang saya kira sudah hampir setahun tidak berjumpa.

Saya sememangnya telah merancang untuk berjumpa dengan mereka pada hari raya kerana inilah waktu terbaik yang ada memandangkan saya berkhidmat jauh di perantauan.

Saya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Selangor yang kini sentiasa kaya dan meriah dengan kontroversi oleh para pemimpin negerinya. Seperti mahu membina 'jenama', publisiti murahan sebegini sememangnya mendapat tempat dalam media arus perdana.

Biasanya, orang yang terdesak saja akan bersikap begitu. Modus operandinya mudah. Iaitu mengeluarkan sesuatu kenyataan dan membiarkan media dan rakyat membincangkannya selama sebulan sama ada di kedai kopi, di tempat kerja atau di dalam blog-blog.

Dalam seminggu lepas saya ada terbaca beberapa artikel dalam blog yang memberi kritikan kepada UMNO Selangor. Katanya, UMNO Selangor tidur dan tidak membuat kerja.


Sepanjang perjalanan ke Shah Alam, mata saya liar memerhati sebarang bentuk banner yang di pasang di tepi jalan. Mana tahu mungkin saya ada ternampak promosi program-program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh UMNO Selangor. Setidak-tidaknya ia dapat menjawab dan menafikan statement 'UMNO Selangor Tidur'.

Tapi, satu banner pun saya tak jumpa. Tak mengapa. Mungkin saya tidak perasan.

Saya ada mengajukan pertanyaan kepada kawan saya yang memang orang Shah Alam.

Betulkah UMNO Selangor tidur?

Kawan saya menjawab "beliau mengakui memang ada orang cakap UMNO Selangor tidur kerana orang tidak nampak sebarang bentuk tindakan agresif, menyerang tanpa rasa simpati, menangguk air di keruh, menikam hingga ke rusuk atau lain-lain. Tapi beliau percaya bahawa UMNO Selangor tidak bisu,tidak pekak atau cacat. Dan percayalah,mereka sedang menyusun strategi dalam senyap dan akan menerkam bila tiba masa yang paling sesuai. Bukankah aktiviti bawah tanah atau strategi bergerak dalam senyap lebih merunsingkan musuh berbanding dengan taktik 'bertelur sebiji riuh sekampung'".

Biasanya taktik 'riuh sekampung' ini diamalkan oleh Anwar Ibrahim. Kisah elaun RM1 dijaja hingga ke peringkat antarabangsa.

Jawapan yang diberikan oleh kawan saya ini membuatkan saya terfikir. Ada betulnya juga. Bertindak seperti harimau yang sudah lama memerhatikan mangsanya 'menari'. Apabila peluang datang,baru terkam.



Selepas Perak, mungkin episod kedua 'The Art of War' akan berlaku di Selangor.

Kita tunggu dan lihat.



Friday, November 27, 2009

Aidiladha...


Dikesempatan ini, penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada anda semua.

Selamat menjalani ibadah korban.

~Admin MLY~
Seremban

Wednesday, November 25, 2009

BTN diharamkan, lepas ni apa pulak?

"Mencintai negara bermaksud mencintai
tanah air, rakyat, pemerintah dan juga
menjunjung kedaulatan negara."


"Jika hanya kita mencintai tanah air, rakyat dan pemerintah, tetapi kita tidak mampu membuat keputusan sendiri mengenai negara, bermakna kita tiada kedaulatan dalam pemerintahan. Ini bermaksud kita masih dijajah samada secara fizikal atau simbolik. Begitu juga jika kita membenarkan tanah air ini semakin hari semakin banyak dijual kepada orang lain, maka kita juga tidak patriotik. Perasaan patriotik terhadap keempat-empat komponen ini wajib disemai di kalangan bangsa kita, supaya kita mampu terus mempertahankan negara ini dengan segala kekuatan dan kebijaksanaan. Oleh itu, BTN terus mengadakan pelbagai program untuk menyemai perasaan patriotik ini kepada seluruh rakyat."

Itu adalah petikan perutusan KP Biro Tatanegara.

Komen anda?

Komen aku senang saja. Apa yang BTN lakukan adalah demi alif, baa dan taa. Agama, bangsa dan tanah air.

Apa yang penting adalah BTN mampu meningkatkan patriotisme. Ia dibuat secara profesional dan berpandukan kepada prinsip - prinsip etika.

Mana kau tahu?

Aku tahu lah sebab aku sendiri pernah hadiri kursus BTN dulu.

Oooiiii Kerajaan Selangor Haramkan Kakitangan Negeri dan Pelajar IPT Milik Selangor Hadiri Kursus BTN !! Kau dengar tak !!!

Eh..kerajaan selangor saja yang haramkan BTN?

Setahu aku, cuma kerajaan Khalid Ibrahim saja yang terbabit. Tapi aku percaya lepas ni, akan ada kerajaan negeri lain yang akan terhegeh-hegeh ikut serta. Sehati sejiwa lah katakan. Kalau tak ikut nanti dikatakan tidak mematuhi maksud 'pakatan' pulak. Bukankah 'pakatan' itu membawa maksud pakat-pakat membuat satu tindakan. Kalau tak pakat nanti takut kena gelak pulak.

Awat depa haramkan BTN?

Exco kerajaan negeri kata kursus BTN yang dijalankan merupakan satu proses ‘indoktrinisasi’ Kerajaan Barisan Nasional. Tambah beliau lagi, BTN boleh menimbulkan fenomena yang agak rasis, seolah-olah ingin memecahkan penduduk-penduduk pelbagai bangsa dan agama.

Indoktrinisasi. Pergghhh..canggih sungguh perkataan tu. Aku carik definisi dalam website DBP tapi tiada. Rupanya salah. Sepatutnya indoktrinasi, bukannya indoktrinisasi. Oii exco,kan dah kantoi tu...sebelum sebut baik check dalam kamus dulu. Jangan main sembur je.

Dan kalau ikut definisi dalam kamus DBP, indoktrinasi bermaksud perihal atau perbuatan menanamkan sesuatu doktrin (fahaman, ajaran, dsb) ke dalam fikiran seseorang atau segolongan manusia.

Exco itu turut berkata, keputusan itu diambil selepas beberapa kajian mengenai BTN dibuat.

Ni aku nak tanya. Siapa yang buat kajian tu? Siapa yang jadi sampelnya? Dan di mana kajian ni dibuat?

Kalau setakat serkap jarang, sapa-sapa pun boleh buat.

Rakyat Malaysia sekalian...

Jangan pula anda terkejut jika Program Latihan Khidmat Negara mungkin akan turut diharamkan di Selangor.

Bukankah tujuan PLKN itu mirip dengan BTN.

Sekarang, bibit-bibitnya sudah ada dan BTN adalah mangsa pertama.

Sunday, November 22, 2009

I'm sorry - Thierry Henry



Dia telah melakukan kesilapan. Tapi sanggup mengaku dan terus meminta maaf.

Tindakan ini bukan mudah malah sukar. Lebih-lebih lagi ia melibatkan hati rakyat sebuah negara.

Ahhh..yang penting permohonan maaf telah diucapkan. Sama ada ia diterima atau tidak itu perkara kedua.

Tapi sekarang, maaf hampir tiada nilai. Walaupun sudah dipinta, orang dah jadi pekak dan tak peduli.

Sebagai contoh dalam kes titi gantung runtuh di Perak. Sekarang dah main saman menyaman. RM105 juta untuk tiga nyawa.
p/s : Dalam kes Thierry Henry, ada ke rakyat Ireland yang nak saman dia?

Wednesday, November 18, 2009

Enam kotak rahsia : satu kotak telah dibongkar !!

Mohamad Ezam berkata, ketika masih bersama PKR, beliau pernah menyuarakan kepada Anwar supaya pemimpin nombor satu parti itu mendedahkan kandungan kotak-kotak itu, tetapi Anwar meminta beliau supaya “tunggu untuk (faedah) politik”.

Pada tahun 1999, ketika dipanggil memberikan keterangan berhubung dokumen dalam kotak-kotak itu yang tergolong dalam kategori rahsia rasmi, perkara yang sama telah dijelaskan kepada polis bahawa “ianya disimpan oleh Anwar Ibrahim”.

Selepas 10 tahun, dalam program Hujah di TV9, Ezam sekali lagi menafikan beliau memiliki 6 kotak rasuah yang diwar-warkan semasa Anwar Ibrahim dipenjarakan di Sungai Buloh. Sebaliknya kotak itu dikatakan masih di tangan Anwar Ibrahim.

Anwar pulak senyap. Langsung tak beri sebarang komen. Saman Ezam pun tidak.

Senyap itu tandanya apa? Tanya Anwar. Hanya dia yang tahu.

Orang cakap, kalau nak dedah biar sampai terlondeh.

Tapi sekarang, yang terlondeh itu bukan Anwar. Tapi Azmin.

Pendedahan dokumen bernilai RM8.5 jut...jut...jutt..juta (nak sebut pun jadi gagap) saham Azmin benar-benar mengejutkan.

Ini cakap bukan sebarang cakap. Ini bukan cakap macam tin kosong.
Tin ini ada isi.

Tak sampai 48 jam selepas didedahkan oleh akhbar Utusan Malaysia, blog GAP dah keluarkan buktinya. Sahih atau tidak, anda pertimbangkanlah sendiri.

Yang pasti, bukti dah ada. Laporan polis pun dah dibuat.

Macam biasa, Azmin pun nafi. Azmin kata dia akan kemukakan saman terhadap bekas Ketua Pemuda MIC, S.A. Vigneswaran berhubung dakwaaan pembelian saham bernilai RM8.5 juta ni.

Alasan Azmin, tindakan itu dibuat kerana dakwaan tersebut menjatuhkan reputasinya sebagai pemimpin dan wakil rakyat serta mengaibkan dirinya sera keluarga.

Pelik bin ajaib. Sejak bila dia kisah pasal reputasi? Bukankah aib mengaibkan diri dan keluarga dah jadi mainan mereka sendiri? Masa buat cerita dongeng DS Najib - Altantuya, takda pulak mereka fikir. Hentam keromo saja. Bila kena batang hidung sendiri, baru tahu langit tinggi rendah.

Paling best adalah part Azmin menafikan dakwaan tersebut. Baru sekali saja nafi, penyokong dia terus percaya bahawa Azmin mangsa fitnah. Malah jadi buta untuk menerima siasatan polis.

Memang betullah...bila otak dah kena tuned macam tu, Anwar kencing tepi jalan pun mereka akan cakap itu bukan Anwar. Itu adalah orang yang mempunyai wajah seakan-akan Anwar. Nahhhh....

Dulu, Anwar dedahkan dia ada enam kotak rahsia yang mengandungi dokumen rasuah dan penyelewengan. Ternyata Anwar 'berkata benar', sekarang 'satu kotak' kepunyaan Azmin telah didedahkan.

Sekarang, kita tunggu pula pendedahan lima kotak lagi :)


Sunday, November 15, 2009

Penasihat Ekonomi Selangor? Kejap..nak pikir.



Anwar dilantik jadi Penasihat Ekonomi Selangor !!


Terkejut beruk?

Tidak.


Teruja sampai terbaring di atas jalan?

Tidak.


Melopong hingga berbuih mulut?

Pun tidak.


Habis apa?

Cuma tertanya-tanya saja.


Kenapa Anwar yang dipilih?

Tidak pasti. Tanya Khalid, dia yang tau.

Hanya jauhari yang mengenal manikam.


Kenapa tanya Khalid?

Sebab dia kan MB Selangor. Khalid yang berkuasa pilih Anwar.


Dulu Anwar adalah bekas menteri kewangan. Kemudian masuk penjara sebab salah guna kuasa. Sekarang, lepas 10 tahun dia dilantik pula sebagai Penasihat Ekonomi. Bukankah itu seperti 'kitar semula'?Tak ada orang lain lagi?

Tang 'kitar semula' hang jangan sebut. Sensitif. Nanti orang kata padan muka kat kita.


Apa sebabnya pulak?

Sebab kita dah kena jilat ludah sendiri. Dulu kita duk kata kat Isa Samad. Calon kitar semula. La ni kita pulak ambil Anwar. Lebih kurang macam 'kitar semula' jugak.


Negeri pakatan lain macam mana? Anwar akan jadi Penasihat jugak?

Tak pasti. Buat masa sekarang, cuma Selangor saja.


Bukankah Selangor tu dah mempunyai ekonomi yang stabil?

Kenapa perlu ada penasihat?

Macam biasa..ini gimik. Setiap keputusan yang kita buat kena ada publisiti walaupun bersifat murahan. Sebenarnya semua hal ekonomi di Selangor dah mantap, dah ok. Tak perlu lagi penasihat ekonomi. Selangor sememangnya dah maju. Lainlah kalau Selangor ni satu spesis negara mundur lain macam Timor Leste, Sri Langka atau lain-lain. Negara atau negeri macam itu memang kena pakai penasihat ekonomi.

Kesimpulannya, jawatan sebagai penasihat ekonomi di Selangor tak payah pening kepala. Dia boleh cuci kaki dan tangan saja. Dengan kata lain, sekadar 'mengurus ekonomi', bukannya bersusah payah 'membina' ekonomi. Akhirnya, lembu punya susu, sapi dapat nama. Sapa lembu? Sapa sapi? Kau pun dah tau. Tak perlu dijawab lagi.


Pelik, sepatutnya dia jadi Penasihat di Pulau Pinang. Negeri kelahiran dia. Jaga ekonomi kat sana. Kan itu lagi baik. Orang Penang yang sokong dia mesti lagi suka. Terutamanya di High Chapparal.

Mungkin Anwar ada alasan lain agaknya. Akhirnya jawatan Penasihat Ekonomi jadi modal.

Betul tak?

Ada kemungkinan jugak. Sebelum ni ada 'ribut kecil' melanda Pelabuhan Klang. Adun keluar PKR. Terdengar jugak sok sek sok sek akan ada Adun lain turut keluar dari PR. Jadi, Anwar kena bertapak di Selangor dengan memegang jawatan dalam Kerajaan Negeri. Akhirnya semua Adun PR terikat. Tok ketua dah masuk kandang beb!


Masyuk ke jadi Penasihat Ekonomi Selangor?

Masuk tu ada. Masyuk tu tak pasti. Jawatan ni cuma dibayar elaun tetap RM1.00 sebulan.


Kenapa sikit sangat?

Aik..sikit salah. Banyak pun salah. Takpa, biar papa asal bergaya.



Bayar pakai cash atau cek?

Jangan tanya soalan macam ni. Kerana bunyinya amat sinis.


Berapa lama sain kontrak jadi Penasihat Ekonomi Selangor?

Soalan ini amat subjektif. Bergantung kepada keadaan. Kalau dia sangkut dengan kes 'tangguh tetap tangguh' tu, terpaksa la orang lain ganti. Tapi kena cari yang 'A' jugak. Sebab 'A' akan jadi proksi kepada 'A'. Dapat tahu siapa?


Kejap..nak pikir....



Sunday, November 8, 2009

Sketsa Piala Malaysia


1. Kalau nak tengok orang baring atas jalan, boleh tengok kat luar Stadium Bukit Jalil selepas tamat perlawanan. Mungkin boleh jumpa..

2. Kelantan dapat jugak satu gol saguhati. Orang kata itu gol 'ehsan'. Tapi tak tau la kot2 depa tak mau sebut gol 'ehsan', nak sebut gol 'royalti' jugak..

3. Parti pemerintah harus bertanggung jawab atas kekalahan kelantan...terdapat unsur2 konspirasi..

4. Macc/sprm akan melakukan siasatan serta merta.. Kemungkinan SELCAT turut menyiasat kekalahan memalukan ini.

5. Seorang Doktor dari Thailand akan dibawa utk melakukan bedah siasat di atas kekalahan pasukan Kelantan. Dipercayai beliau adalah Dr Porntip.

6. Esok(hari ini) Kelantan diisytiharkan cuti umum sempena layak ke final Piala Malaysia. Hakikatnya, ia adalah cuti berkabung atas kekalahan malam tadi.

7. Penjaga gol mungkin terima wang ehsan lebih awal dari yang sepatutnya, sebab itu beliau murah hati melepaskan tiga gol...

8. Kemungkinan ramai orang Kelantan akan mengambil MC pada hari Isnin kerana tidak mahu masuk ke opis..tak tahan kene kutuk..

9. Hasan Ali tidak mengaku bersekongkol dalam konspirasi kekalahan kelantan..

10. Konsert kumpulan Carburator Dung yg terkenal dgn lagu Jilat terpaksa dibatalkan ekoran kekalahan pasukan Kelantan..sepatutnya konsert tersebut dilangsungkan di luar stadium jika Kelantan menjadi juara..

11. Satu perhimpunan diadakan dan akan berarak dari Stadium Bukit Jalil menuju Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada YDPA...semua dijemput menyertainya...jika anda disembur air atau asap....itu sendiri tanggung ...

12. Kelantan menyalahkan Najib kerana lambat membayar wang ehsan....
13. Ada permintaan supaya ditubuhkan "Suruhanjaya Diraja" bagi menyiasat punca kekalahan semalam..

14. Penyokong bersifat seperti siamang, macam tengok bola kat pantai...siap buat camp fire dengan membakor kerusi stadium..

15. Pesta mercun dan bunga api dalam stadium. Dipercayai, stok mercun adalah sumbangan parti roket...


Tulisan di atas tiada kaitan antara yang hidup dengan yang mati.
Harap Maklum :)

Friday, November 6, 2009

Bersukan, bukan bersetan..

Pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan akan bertembung pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kepada pasukan yang bertanding, mainlah dengan penuh semangat.

Lari biar laju, lompat biar tinggi, biarpun sampai rabak seluar...






Tanamkan semangat kesukanan dalam diri.

Bukannya semangat kesetanan.

Jangan ikut rasa, kelak binasa.












Dalam padang satu hal, nanti yang di luar padang turut terlibat sama..


Tahniah kepada pasukan yang menang. Kepada pasukan yang kalah, jangan putus asa..



Kalau masih kecewa dan putus asa, dinasihatkan berhenti main bola dan gantung sahaja but anda.



Thursday, November 5, 2009

Kisah Anwar dengan wartawan





Pernah suatu ketika di Permatang Pasir dahulu, Anwar menggunakan hampir 30 minit dalam sidang media dengan mengkritik beberapa media arus perdana yang disifatkannya sebagai tidak berlaku adil dan saksama.


Selepas media teruk dibelasah olehnya, ada wartawan-wartawan yang merajuk. Sudah tidak tidak mahu senyum lagi dengan Anwar.


Ketika itu, barulah Anwar sedar bahawa beliau sudah terlanjur dan cepat-cepat memujuk kembali wartawan yang membuat liputan mengenai aktivitinya di lapangan.


"Saya nampak ada wartawan sudah tidak mahu senyum dengan saya," katanya. Sebaliknya jelas Anwar, beliau hanya tidak berpuas hati dengan pengarang dan organisasi media pada umumnya.

"Pendirian saya adalah terhadap media tertentu, dan tidak kepada wartawan yang menjalankan tugas sebaik mungkin".


Bagi Anwar, 'tugas sebaik mungkin' itu maksudnya adalah wartawan yang tidak bertanya atau tidak berani mencelah sidang medianya, malah menulis dan menurut apa sahaja cerita dan alkisah yang keluar dari mulut Anwar. Jangan cuba-cuba menyangkal atau menyampuk, buruk padahnya. Pasti dibasuh oleh Anwar pada masa itu juga.


Bagi kebanyakkan wartawan yang sering hadir sidang media Anwar Ibrahim, mereka tentu sudah kenal dan mengerti gaya serta lenggok jawapan beliau. Lebih-lebih lagi bagi wartawan yang menjadi pengikut setia bagi setiap sidang media Ketua Pembangkang itu menjelang 16 September.

Sampai ke satu tahap, ada wartawan merungut kerana tiada cerita baru untuk ditonjolkan selain dolak dalih Anwar yang kononnya hendak penyerahan kuasa dilakukan secara aman dan teratur oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Makin lama, wartawan pun makin bosan dengan Anwar. Sudahlah asyik kena ‘kelentong’, mereka juga ‘terpaksa’ kerja dan berdepan cerita sama tetapi berbeza harinya.

“ Different day…but same story! ”

Banyak lagi komen-komen ‘ menyumpah’ yang kedengaran dikalangan para wartawan yang hadir.Ada yang kata rasa macam ‘ kena main’ oleh Penasihat PKR itu.

Jangan kata berita besar kalau nak kira sempena dengan hari penentuan yang Anwar gembar gemburkan selama ini habuk pun tak ada yang baru.


Itu adalah antara kisah 'persengketaan' antara Anwar dengan para wartawan.


Tetapi dek kerana tugas dan tanggungjawab, mahu tak mahu terpaksa juga wartawan mengikut sidang media yang dilakukan oleh Anwar.


Dan terbaru, Anwar menunjukkan reaksi tidak senang apabila ditanya mengenai dakwaan beliau melebihkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, sehingga menyebabkan ramai pemimpin PKR lain bertindak keluar daripada parti itu.

''You dari mana? You dari media mana?'' kata beliau dalam nada tidak senang kepada seorang wartawan pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Anwar bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut, sebaliknya 'berceramah' kepada wartawan berkenaan agar melaksanakan amanah sebagai petugas media dengan baik.


Sekali lagi, persengkataan tercetus. Nampaknya Anwar cukup sensitif dengan jenis soalan wartawan yang tidak menepati citarasa beliau.


Ke mana slogan kebebasan media? Ke mana slogan kebebasan bersuara? Bertanya pun adalah satu bentuk kebebasan. Anwar patut tahu mengenai itu juga.


Kalau beginilah caranya , pergi jahanamlah dengan 'kebebasan' yang dimomokan oleh beliau sebelum ini.


Kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.



Monday, November 2, 2009

Utusan Malaysia vs Liverpool?

Tengah sibuk membuat kerja serta melayan 'monday blues' di opis, sempat jugak belek surat khabar Utusan.


Selak punya selak punya selak surat khabar sampai ke bahagian forum muka surat 12, saya terbaca satu SMS pilihan yang di siarkan dalam laman tersebut....


"Kenapa laporan sukan Utusan seolah-olah memusuhi kelab Liverpool dan menyebelahi Manchester United? Harus diingat, banyak penyokong Liverpool yang melanggan surat khabar Utusan Malaysua."


- Anti Pilih Kasih

SMS Pilihan, Utusan Malaysia, 2 Nov 2009


Kepada penghantar SMS bernama Anti Pilih Kasih, terima kasih kerana menceriakan hari isnin saya...heheheheh.


Minat punya pasal, macam-macam boleh jadi.





Sunday, November 1, 2009

Politik Sembahyang Hajat











Kalau kita lihat sekarang ini sembahyang hajat sudah menjadi semacam satu perkara mudah yang dilakukan di mana-mana sahaja termasuk di atas jalan yang kotor.


Perhimpunan politik pula diadakan dengan berselindung atas nama sembahyang hajat. Perkara ini terang-terang berlaku di luar kawasan bagunan SUK Ipoh yang mana terletak DUN Perak dan di hadapan bangunan DAP minggu lepas.


Ada pihak yang membidas polis kerana menghalang perhimpunan itu yang, menurutnya, adalah untuk bersembahyang hajat.


Polis, kata mereka, telah melakukan dosa besar dan perlu berjawab dengan Tuhan nanti.Tujuan utama perhimpunan itu adalah politik, politik menghentam kerajaan. Sembahyang hajat cuma perkara sampingan sahaja.


Benar, negara ini mengamalkan demokrasi. Semua boleh bersuara. Semua bebas menghentam kerajaan, tapi janganlah berselindung di sebalik program keagamaan.


Janganlah guna agama untuk matlamat politik. Jika polis perlu berjawab dengan Tuhan, rasanya banyak lagi yang mereka ini kena jawab.Sembahyang hajat boleh dilakukan di mana-mana dan tidak payah menghimpunkan berpuluh ribu orang sehingga mencetuskan masalah keselamatan kepada pihak polis.


Dalam sebuah negara di mana terdapat masjid di setiap penjuru, kenapa perlu bersesak-sesak di sekolah agama, di jalan-jalan dan di markas parti.Ternyata ada agenda politik di belakang semua itu.


Jika tidak, sembahyang boleh dilakukan dengan lebih tenteram di masjid atau di rumah. Apabila ibadah sembahyang mahu dipertunjukkan kepada dunia, ia menjadi cerita lain.


Sebenarnya, mereka menyedari betapa mudahnya memikat hati orang ramai dengan menggunakan cara sebegini. Mereka hanya mahu mengambil kesempatan atas simpati murahan orang ramai.


Mempercayai bahawa mereka benar-benar jujur atau ikhlas adalah satu pemikiran lurus bendul. Mereka bijak membina populariti untuk kepentingan mereka sendiri. Itu sahaja.


Bulan ini dalam sejarah : November 1998

Perbicaraan terhebat abad ini

KES mahkamah yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap perbicaraan paling hebat pada abad ini. Tuduhan-tuduhan salah laku seks di luar tabii terhadapnya begitu berat, sensasi, penuh drama dengan latar belakang pergelutan politik yang intrigue.

Penyiasatan polis berhubung kes ini bermula dengan penerbitan sebuah buku kontroversial 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM pada bulan Jun lalu.
Jabatan Peguam Negara berkata, ia mempunyai kes prima facie untuk mendakwa Anwar. Jabatan itu menawarkan 52 orang saksi manakala Anwar mendapat khidmat barisan peguam bela yang terbaik di Malaysia.

Perbicaraan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul, seorang lulusan Inner Temple yang telah 27 tahun berkecimpung dalam bidang perundangan.

Anwar dituduh mengadakan hubungan seks di luar tabii dengan lima lelaki dan menghadapi lima lagi tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Kes beliau disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada 29 dan 30 September tetapi dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Oktober.

Anwar mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan terhadapnya. Mahkamah menetapkan untuk membicarakan empat kes rasuah dan salah guna kuasa terlebih dahulu pada 2 hingga 14 November. Perbicaraan enam kes lain akan ditetapkan kemudian.

Dakwaan Anwar bahawa beliau dipukul semasa dalam tahanan pula sedang disiasat dan merupakan satu perkembangan yang menarik untuk diikuti.
Bangunan mahkamah dikawal ketat oleh anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) semasa kes beliau pertama kali disebut, dan ini dijangka berterusan, manakala fokus media massa tempatan dan antarabangsa juga tertumpu kepada drama mahkamah kes ini.

Beberapa aktivis hak asasi manusia dari luar datang ke Kuala Lumpur untuk menjadi pemerhati kes Anwar tetapi tiada tempat khas disediakan untuk mereka di mahkamah.

Sebulan lalu, Anwar ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia tetapi sekarang beliau merupakan tertuduh dalam kes jenayah seks dan rasuah yang boleh dikelaskan sebagai yang paling menarik perhatian.

Atas sebab-sebab keselamatan, perbicaraan kes ini akan diadakan di sebuah Mahkamah Tinggi di Bangunan Sultan Abdul Samad yang mempunyai laluan bawah tanah untuk membawa seseorang tertuduh terus dari lokap ke mahkamah.